Pages

Monday, November 15, 2010

Zaid Keluar PKR: Saifuddin Belum Terima Surat

Saifuddin Nasution Ismail
PETALING JAYA 15 NOV: Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan masih belum menerima surat rasmi daripada Datuk Zaid Ibrahim.

Memetik laporan The Malaysian Insider, Saifuddin berkata, surat peletakan jawatan perlu diserahkan kepada parti terlebih dahulu sebelum PKR mengesahkan Zaid keluar parti.

“Ia seperti kerja, kalau nak berhenti, pertama serahkan surat letak jawatan kepada majikan, kemudian mereka akan buat keputusan. Kita masih belum menerima apa-apa surat daripada Zaid setakat ini yang mengatakan mahu keluar parti,” katanya.

Bagaimanapun Saifuddin berkata bahawa beliau tidak rasa terkejut sekiranya laporan media mengatakan Zaid mahu keluar parti adalah benar.

“Tidak, ia bukan satu kejutan kepada kita. Tidak, tidak sama sekali,” kata beliau.

Laporan akhbar The Star hari ini menyebut Zaid — sebagaimana telah dijangkakan ramai sebelum ini, keluar PKR, seminggu selepas mengumumkan beliau menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden.

Dalam temu bual dengan The Star edisi hari ini, Zaid berkata, “saya tidak jelek dengan parti tetapi jelek dengan pemimpin-pemimpin yang sakit dalam parti.”

Zaid mengambil keputusan ini ketika tinggal sebulan lagi Pakatan Rakyat dijadual mengadakan konvensyen kedua mereka di Pulau Pinang.

Malah kata Zaid, beliau diserang bertubi-tubi hanya kerana meminta agar diadakan pemilihan yang bersih dan adil.

Minggu lalu, Zaid meminta Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pesaing jawatan timbalan presiden Azmin Ali agar meninggalkan PKR atas alasan mereka punca kepada segala masalah dalam parti komponen Pakatan Rakyat itu.

Zaid menyertai PKR pertengahan 2009 selepas dipecat oleh Umno beberapa bulan sebelum itu, di mana beliau juga kritikal dengan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

No comments:

Posting Terkini