Pages

Monday, November 8, 2010

Kempen "Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat Selangor"

Oleh Nazli Ibrahim


PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor akan melancar kempen kesedaran dan penyampaian maklumat kepada rakyat negeri ini berhubung krisis air dalam Kempen Kembalikan Hak Air kepada Rakyat Selangor.

Demikian beritahu Pengarah Penerangan Negeri Selangor, Dr Badrul Amin Bahron kepada FMT baru-baru ini.

"Tujuan utama kempen ini dijalankan adalah untuk memberi maklumat sebenar kepada rakyat Negeri Selangor berhubung isu penswastaan air yang mencabuli hak rakyat negeri ini.

"Dalam kempen itu nanti, kita akan menjelaskan kepada rakyat tentang penswastaan air yang jelas hanya mementingkan keuntungan dan gagal memberikan manfaat kepada pengguna di Selangor dan Wilayah Persekutuan," jelas beliau.

Menurut Badrul lagi, kempen tersebut akan dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada jam 2.30 petang hari ini di Dewan Auditorium Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.

Badrul turut menjelaskan kempen ini akan membabitkan 22 parlimen dan berakhir dengan satu perhimpunan besar-besaran pada 5 Disember akan datang ini di Masjid Negara.

"Siri ‘road tour’ kempen ini akan menjelajah ke 22 parlimen dan melibatkan pemimpin-pemimpin lain dalam parti gabungan Pakatan Rakyat (PR) seperti Tony Phua dari DAP dan Hj Mohd Sabu dari PAS dan beberapa nama lagi.

Serah memorandum kepada Yang Dipertuan Agung

"Penutupnya pula, akan diadakan Perhimpunan 100,000 Rakyat di Masjid Negara pada 5 Disember nanti dan dari situ kita akan berarak menuju ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung.

"Semua rakyat samada penduduk Selangor, Kuala Lumpur mahupun Putrajaya dijemput hadir pada hari tersebut. Tidak mengira fahaman politik", ujar beliau lagi.

Menurut Badrul, tujuan memorandum tersebut diserahkan kepada Dipertuan Agung bagi meminta Seri Paduka campur tangan untuk mengembalikan hak rakyat Selangor.

Syabas tidak hirau kepentingan rakyat

Badrul turut melahirkan rasa kesal dengan tindakkan syarikat konsesi itu apabila berhasrat menaikkan bekalan air tanpa menghiraukan kepentingan pengguna air di negeri ini.

"Ini dapat dilihat apabila Syabas berhasrat menaikkan harga air baru-baru ini, namun telah ditolak oleh kerajaan negeri ini.

"Kita tidak akan membiarkan Syabas sewenang-wenangnya menaikkan tarif air yang menekan rakyat tetapi dalam masa yang sama, kualiti air yang dibekalkan berada pada tahap teruk.

"Ketika rakyat cuba ditambah bebanan mereka dengan menaikkan tarif, Pengerusi Syabas ini pula memperolehi gaji lebih RM400,000 setiap bulan.

Kerajaan pusat cuba gagalkan program air percuma

Kerajaan pusat turut diselar apabila bertindak menyebelahi Syabas dalam isu pengambilalihan bekalan air oleh Kerajaan Negeri Selangor dengan pelbagai helah.

"Kerajaan Pusat pula lebih suka bermain silap mata dengan bermacam helah demi menjaga ’sahabat’ mereka dalam Syabas berbanding mendahulukan kepentingan rakyat negeri ini. Perbincangan ini telah sampai ke tahap beku," ujar beliau.

Beliau turut menjelaskan, tindakan kerajaan pusat itu hanyalah semata-mata untuk menggagalkan program pemberian air percuma 20 meter padu oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada rakyat negeri ini.

No comments:

Posting Terkini