Pages

Sunday, November 7, 2010

Gerakan kenal pasti calon selepas tahun baru Cina, kata Koh

KUALA LUMPUR: Calon Gerakan akan mula diperkenalkan untuk bertanding dalam pilihan raya umum selepas sambutan Tahun Baru Cina pada 3 Februari depan, kata Presidennya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.


"Saya telah mula menjelajah hampir kesemua kawasan yang diperuntukkan untuk parti itu untuk membuat penilaian awal tentang kedudukan politik semasa sejak empat bulan lepas.

"Penilaian dan pemilihan calon parti itu akan dibuat berdasarkan kepada komitmen, integriti, kebolehan, prestasi dan faktor boleh-menang.

"Kita akan melawat semua kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kita dalam tempoh masa tiga bulan ini untuk menilai prestasi wakil-wakil rakyat dan penyelaras-penyelaras yang sedia ada," katanya ketika berucap di Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan yang ke-39 di Menara PGRM di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah merasmikan persidangan itu.

Koh menegaskan beliau tidak mahu anggota Gerakan melobi atau meminta sokongan berlebih-lebih untuk mendapatkan pencalonan.

"Kerja dulu, jangan melobi-lobi," katanya.

Pada PRU ke-12 lalu, Gerakan tewas kesemua 12 kawasan DUNnya, manakala cuma mampu mempertahankan dua daripada 10 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Sementara itu, beliau juga mengesa supaya anggota Gerakan terus bersatu dan gigih bekerja untuk menghubungi semula dengan rakyat dan pada masa yang sama membuktikan kepada pengkritik-pengkritiknya bahawa padangan negatif mereka terhadap parti itu adalah tidak tepat.

"Kita mungkin lemah tetapi kita bukannya jatuh tersungkur.

Pengkritik-pengkritik kita cuba memaparkan Gerakan sebagai sebuah parti "tak berguna" dan parti "tidak mempunyai harapan.

"Kalau begitu, mengapakah kita terdapat tiga wakil rakyat Bebas yang memilih untuk memasuki parti kita? Kalau begitu, mengapakah seramai 20,000 orang dari semua negeri telah menjadi anggota baru dan 5,000 orang lagi dalam proses permohonan," katanya.

No comments:

Posting Terkini