Pages

Monday, November 8, 2010

Ekonomi Selangor kembali berkembang 6.1% KDNK

Oleh Mohd Hafiidz


SHAH ALAM: Ekonomi Selangor kembali berkembang apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat ke paras 6.1% dari Januari hingga Ogos tahun ini.

Pertumbuhan positif ini menukar penguncupan 1.2% tahun lalu dan unjuran mencatatkan pertumbuhan tahun-atas-tahun mencapai 9.6% menjelang suku keempat 2010.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sektor perkhidmatan menyumbang 60.5% kepada perkembangan KDNK semasa, diikuti sektor pembuatan 32.4% dan pembinaan 5.5%.

"Pengembangan sektor pembuatan dan perkhidmatan memacu pertumbuhan lebih baik berbanding prestasi negara antara tahun 2007 hingga 2009," kata Khalid ketika membentang Belanjawan 2011 Negeri Selangor hari ini.

Sementara, Kerajaan Negeri menjangkakan sektor perkhidmatan akan terus mencatatkan pertumbuhan 5.0% bagi tahun 2011.

Nilai ditambah

Sektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan merupakan penyumbang terbesar dari segi nilai ditambah (value added), dengan anggaran pertumbuhan nilai sebanyak 4.2%.

Sementara itu, sektor kecil perdagangan borong dan runcit, penginapan dan restoran dijangka terus kukuh dengan pertumbuhan 6.5%. Bagi sektor perindustrian pula, sektor ini dijangka mengalami peningkatan nilai ditambah sebanyak 7.0%, ekoran pertumbuhan nilai ditambah yang kencang (7.1%) di sektor pembuatan.

Sektor pembinaan pula diunjurkan bakal mengalami pertumbuhan positif 6.1%, hampir menyamai pertumbuhan sektor pembinaan negara bagi suku tahun pertama 2010, iaitu 8.7% dan 4.1% bagi suku kedua tahun yang sama.

"Keaktifan sektor ini dijangka disumbangkan oleh pembinaan rumah kediaman, kawasan rekreasi, kompleks dan bangunan perniagaan serta kerja-kerja baik pulih."

No comments:

Posting Terkini