Pages

Monday, October 18, 2010

Sekitar 60 ahli PKR desak Anwar bertaubat

PETALING JAYA: Sekumpulan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mendakwa dari Pulau Pinang dan Perak mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim segera bertaubat berikutan pelbagai pembongkaran isu moral beliau selain berundur daripada kepemimpinan parti itu.

Kira-kira 60 ahli berkumpul di hadapan Ibu Pejabat PKR di sini kelmarin untuk menyerahkan memorandum bertajuk 'Taubat kepada Anwar yang juga Penasihat PKR'.

Wakilnya, Encik Nur Ilmi Ismail, daripada Cabang PKR Bayan Baru, Pulau Pinang, berkata PKR memerlukan seorang pemimpin yang dapat memberikan sepenuh perhatian terhadap perjuangan parti dan bukan hanya sibuk mengendalikan masalah peribadi.

'Kami tidak mahu pemimpin yang menggunakan dan berselindung di sebalik parti untuk mengelak daripada tindakan undang-undang,' katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Beliau berkata jika Datuk Seri Anwar enggan bertaubat selepas pelbagai pendedahan dibongkar sejak kebelakangan ini, beliau yang mendakwa mewakili sebahagian besar golongan muda mendesaknya meletak jawatan dengan segera.

Encik Nur Ilmi menyerahkan memorandum itu kepada petugas Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Encik Rauo Imran, sekitar 11 pagi ketika berlangsungnya proses penerimaan pencalonan pemilihan PKR 2010.

Ditanya apa yang dimaksudkan sebagai pendedahan demi pendedahan, Encik Nur Ilmi berkata ia ada kaitan dengan isu moral seperti kes liwat yang sedang dihadapi Datuk Seri Anwar.

'Bukan itu saja, minggu lalu dua individu tampil mendakwa dirinya dipaksa oleh peguam Anwar untuk menandatangani akuan bersumpah kononnya tuduhan liwat itu adalah satu konspirasi untuk menjatuhkan Anwar.

'Anwar harus tampil menjawab semua tuduhan itu kerana ia sudah mencemar imej PKR dan ramai, terutama golongan muda, kini sudah hilang keyakinan terhadap kepemimpinan Anwar.

'PKR juga semakin kucar-kacir dan amat berharap pemimpin itu akan berundur demi menyelamatkan parti,' katanya.

Encik Nur Ilmi berkata pihaknya amat berharap petugas JPP yang menerima memorandum itu akan menyerahkannya kepada Datuk Seri Anwar.

'Kami mahu menyerahkan memorandum ini sendiri kepada Anwar tetapi malangnya beliau tidak berada di Ibu Pejabat PKR ketika kami semua tiba di sini,' katanya. -- BMM.





No comments:

Posting Terkini