Pages

Monday, September 27, 2010

Zunar: Polis pun tidak tahu apa yang ditanya

Bermula dengan perintah reman satu hari dari Majistret Sepang, disusuli pula dengan lawatan polis ke pejabat Malaysiakini, babak Cartoon-O-Phobia melabuh tirai pada hari ini apabila kartunis Zunar dibebaskan pada kira-kira jam 6.15 petang ini. Bagaimanapun, segala-gala ini gagal menundukkan Zunar, yang tidak akur dengan tindakan polis.

Ketika dihubungi MerdekaReview, Zunar atau nama asalnya Zulkiflee Anwar Ulhaque berkata, polis sendiri pun tidak tahu apa soalan yang hendak diajukan kepadanya sepanjang proses siasatan, tetapi sekadar mahu mendapat penjelasan tentang kartun lukisannya.

Untuk Zunar, tindakan polis ini bertujuan untuk menakut-nakutkannya, agar dirinya berhenti melukis kartun. Bagaimanapun, beliau tegas bahawa dirinya akan terus melukis, dan berpegang kepada prinsip dan falsafahnya berkartun, iaitu membongkar penyelewengan dan korupsi kerajaan. Malah, beliau tidak akan menyembunyikan pendirian dirinya dari karya kartunnya.

Zunar bagaimanapun perlu melaporkan diri di balai polis pada 7 Oktober 2010.


Majistret menafikan hak Zunar

Pada awal pagi tadi, polis berjaya mendapat perintah reman satu hari daripada mahkamah Majistret Sepang untuk terus menahan Zunar, tanpa kehadiran peguamnya. Fadiah Nadwa Fikri, peguam yang mewakili Zunar, berkata dirinya hanya diberitahu polis bahawa Zunar akan dibawa ke majistret pada jam 9 pagi, ketika dirinya menghubungi polis pada waktu itu juga.

Maka beliau pun bergegas ke Majistret Sepang, tetapi mendapati polis telah berjaya mendapat perintah reman satu hari. Ketika dihubungi MerdekaReview, Fadiah Nadwa Fikri (gambar kiri) menyatakan ketidakpuasannya kerana anak guamnya dinafikan hak untuk diwakili peguam. Bagaimanapun, beliau akan mengadu kepada Majlis Peguam berhubung kes ini.

Fadiah juga menambah bahawa penangkapan polis ini dipercayai bertujuan untuk menghalang Zunar daripada menghadiri majlis pelancaran buku kartunnya, Cartoon-O-Phobia semalam. 【CARTOON-O-PHOBIA: Pelancaran buku tanpa buku dan pengarang】

Pada kira-kira jam 3.45 petang tadi, tiga orang pegawai polis dari Shah Alam melawat ke pejabat Malaysiakini, dan mengambil keterangan daripada Ketua Pengarangnya, Steven Gan. Bagaimanapun, tiada apa-apa yang dijumpai dan dibawa pulang ke balai polis.

Menurut Steven Gan, soalan yang ditanya berkisar pada operasi Malaysiakini, anak syarikatnya, Kinibook, buku terbitannya yang lain dan sama ada beliau menghadiri majlis pelancaran buku semalam.

No comments:

Posting Terkini