Kumpulan Sokongan Penan, Forum-Asia dan AIWN (Asian Indigenous Women's Network) telah mendedahkan tujuh kes baru penderaan seksual terhadap wanita Penan oleh pekerja balak pada 6 Julai 2010.
Pendedahan ini mengundang kemarahan Ketua Polis Negeri Sarawak, lantas menyangkal tuduhan bahawa polis menyembunyikan kebenaran. Beliau mendakwa bahawa polis belum menerima laporan mangsa atau orang lain setakat ini, malah mempersalahkan mangsa yang enggan bekerjasama, dan bukannya ketidaksungguhan polis sebagaimana yang dituduh.
Pada 9 Julai 2010, Menteri Pembangunan Tanah Negeri Sarawak, James Masing mencadangkan polis untuk memohon kepada mahkamah, agar waran dikeluarkan untuk menangkap mangsa eksploitasi seksual yang enggan bekerjasama, malah mengambil keterangan daripada NGO yang mendedahkan laporan ini.
Menteri Pembangunan Bandar dan Perumahan Sarawak, Amar Abang Johari Tun Openg yang pernah menjaga hal ehwal orang Penan mendakwa dirinya tidak pernah mendengar khabar sedemikian (eksploitasi seksual), dan tidak faham mengapa ia berlaku sekarang.
"Mengapa mereka tidak membuat laporan polis?" Demikianlah persoalan yang dilontarkan terhadap mangsa eksploitasi seksual.
Jauh di pedalaman
Mereka yang tidak pernah menjenguk ke kawasan pedalaman Sarawak tidak akan faham, malah Yang Arif Tuan Hakim yang pergi ke tempat ini dengan helikopter khas polis juga tidak mungkin memahami, betapa susah perjalanannya, dan betapa jauh jaraknya, jikalau mangsa pencabulan seksual ingin membuat laporan polis.
Pada November 2009, saya melawat ke satu perkampungan Penan di Uru Baram dari Miri, mengambil masa tujuh jam dalam kereta penggerak empat roda. Kemudian, kami menaiki sampan selama satu jam untuk sampai ke destinasi. Sekiranya air sungai terlalu cetek, maka kita perlu berjalan kaki untuk dua jam. Perkampungan Penan di Uru Baram terasing dari dunia kita, tanpa sebarang kemudahan telekomunikasi.
Seandainya saya didera secara seksual pada suatu malam, di perkampungan Penan sebegitu, dan saya ingin membuat laporan polis, maka saya perlu melalui halangan-halangan berikut. Pertama, saya perlu menaiki sampan, dengan syarat sampan itu mempunyai petrol yang mencukupi, dan pengemudi sampan tidak memburu di hutan (kerana pemburu perlu meninggalkan kampung untuk beberapa hari jikalau memburu di hutan). Pilihan lain untuk saya adalah, meninggalkan kampung Uru Baram dengan menyusur jalan di tepi sungai.
Sampan akan membawa saya ke jalan yang membolehkan saya menaiki kereta penggerak empat roda. Saya perlu menunggu sebuah kereta yang lalu di situ untuk membawa saya ke balai polis terdekat. Saya perlu menunggu satu atau dua jam kalau bernasib baik, sebaliknya, setengah hari akan disia-siakan begitu sahaja.
Saya perlu membayar sekurang-kurangnya RM100 hingga 200 kepada pemandu kereta penggerak empat roda, dan kereta ini kemungkinan besar dimiliki syarikat pembalak. Saya perlu sekurang-kurangnya tiga jam untuk sampai ke balai polis yang terdekat. Ia dianggap lancar jikalau laporan itu diterima. Tetapi, ia memerlukan perjalanan satu hingga dua jam (dengan menaiki kereta) lagi jikalau ingin menuju ke balai polis yang mempunyai Investigation Officer.
Sesungguhnya, saya boleh memilih untuk berjalan kaki. Menurut penduduk kampung, perjalanan dari kampung ke balai polis yang terdekat memerlukan dua hingga tiga hari. Dengan kata lain, saya perlu mengheret diri saya yang terluka dari fizikal dan mental, untuk mengharungi perjalanan ini, malah terpaksa tidur di dalam hutan pada waktu malam.
Terlupa pula saya untuk mengingatkan anda, definisi "fresh case" untuk kes pencabulan seksual oleh polis dan hospital adalah, laporan polis dalam masa 72 jam selepas kejadian berlaku. Pada hemat anda, mungkinkah mampu saya untuk melakukannya dengan syarat yang sedemikian? Andaikan diri anda yang menjadi mangsa, sanggupkah anda membuat laporan polis setelah mengalami penyeksaan sedemikian?
Kesemua puak Penan di pedalaman menghadapi masalah yang sama, iaitu balai polis di yang jauh di tepi langit, menjurus kepada masalah aksesibiliti dan kos pengangkutan yang tinggi.
Bukan soal tidak mahu pergi, tetapi tidak mampu pergi. Jika pun sampai di balai polis, ia perlu menyelesaikan masalah tidak fasih bahasa. Ada pula yang tidak mempunyai kad pengenalan, bagaimana untuk membuat laporan polis? Oleh yang demikian, kebanyakan kes yang didedahkan bukanlah kes yang baru, malah mungkin telah berlaku untuk banyak tahun dahulu. Jadi, bukan mereka tidak mahu, tetapi mereka tidak tahu kepada siapa mereka boleh mengadu.
Hubungan yang tidak sama rata
Selain faktor "jarak", satu lagi punca "tiada laporan polis dibuat" adalah, orang Penan terpaksa bergantung kepada syarikat pembalakan, khususnya di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai perkhidmatan sosial. Syarikat pembalakan menggunakan hubungan yang tidak sama rata ini untuk mengawal dan mengeksploitasi kaum Penan.
Kereta syarikat pembalakan merupakan satu-satunya alat pengangkutan yang menghubungi dunia luar. Kanak-kanak yang mahu pergi belajar, mendapatkan rawatan di klinik dan hospital, malah urusan dokumen kanak-kanak (seperti surat beranak, kad pengenalan) semuanya bergantung kepada kereta-kereta ini ini.
Syarikat pembalakan amat sedar, bahawa kaum Penan tidak mempunyai saluran aduan, lantaran masalah jarak dan kemiskinan. Maka kaum Penan dieksploitasi sepenuhnya. Tanah, hutan dirampas, malah eksploitasi seksual yang sama dahsyat tahapnya dengan pencabulan seksual.
Segala-gala ini berlaku tanpa kerelaan. Eksploitasi ini sesuatu yang yang terancang dan bersistematik. Jangan terlupa pula, bahawa pencabulan yang dilakukan bukan sahaja pencabulan seksual, malah antaranya termasuklah keganasan, melarikan orang, kahwin paksa, keganasan keluarga dan pelbagai ancaman.
Semua mangsa penderaan yang saya temui pernah menerima ancaman daripada pendera. Pendera akan mengugut untuk mencederakan mangsa dan ahli keluarganya, yang kemudiannya memberi laluan kepada kahwin paksa. Setelah dieksploitasi atau selepas mangsa mengandung, maka mereka akan dibiarkan begitu sahaja.
Malah ada yang terang-terang masuk untuk merampas perempuan di kampung, dan membawa mangsa ke asrama. Punca mereka bermaharaja rela di situ hanyalah satu, pekerja ini yakin bahawa mereka boleh mencabul orang Penan sewenang-wenangnya kerana hubungan yang tidak sama rata ini.
Prejudis kerajaan dan polis terhadap Penan
Biarpun orang Penan berjaya sampai ke balai polis setelah mengharungi pelbagai rintangan, tetapi mereka akan berdepan dengan rintangan satu lagi, iaitu prejudis kerajaan dan polis, yang membantutkan perkembangan siasatan kes sedemikian. Berulang kali ahli politik Sarawak menafikan peristiwa ini, mereka menolak tanggungjawab ini kepada orang Penan. "Mereka (gadis Penan) mudah terpedaya, diperalatkan untuk mencalar imej kerajaan."
"Mereka pandai bercerita", "NGO tempatan dan asing mencemburui pembangunan negara kita," prejudis inilah yang mengakibatkan tidak wujudnya ruang dan suasana yang mesra untuk menyokong mereka, agar mereka memilih untuk membuat laporan polis, atau sekurang-kurangnya mendedahkan peristiwa ini.
Persoalan seterusnya, apakah keadilan akan dikembalikan kepada mangsa seandainya laporan polis dibuat?
Pada tahun 2008, dua orang mangsa yang tidak mempercayai polis tempatan, memilih untuk membuat laporan polis di Kuala Lumpur. Pihak kami (NGO yang disertai Wong Su Zane) yang membantu mangsa ini tidak pernah lewat setiap kali polis memanggil kami ke balai, kecuali sekali apabila anak kepada seorang mangsa jatuh sakit.
Akhirnya, polis mengumumkan bahawa siasatan kes ini tidak berhasil kerana mangsa enggan bekerjasama dan bukti tidak mencukupi. Salah seorang daripadanya tidak dapat membekalkan maklumat pendera, tetapi pada masa yang sama polis telah mengambil DNA anak yang dilahirkan selepas didera.
Untuk kes yang satu lagi, polis mendakwa bahawa pendera yang dituduh itu adalah "suami"-nya. Memang benar, sebab kebanyakan perempuan yang dicabul terpaksa dikahwinkan kepada pendera kerana rasa takut dan malu. Tetapi apakah ini bermaksud pendera tidak perlu bertanggungjawab ke atas tindakan ganas mereka? Bahkan ahli keluarga dan kampung mangsa ini diganggu syarikat pembalakan dan polis, setelah laporan dibuat, sehingga keluarga mereka terpaksa melarikan diri ke hutan buat sementara.
Setelah mereka balik ke kampung dari Kuala Lumpur, "suami" salah seorang mangsa telah mendapat khabar, dan membawa mangsa ini ke balai untuk membatalkan laporan polisnya. Menurut ibu bapa mangsa ini, "suami" (si pendera) ini datang bersama seorang polis, dan membawa anak perempuan pergi dari rumah. Polis membenarkannya untuk membatalkan aduan itu begitu sahaja tanpa mempertimbangkan bahawa ia mungkin membuat keputusan ini kerana "dipaksa". Tiada siasatan daripada polis.
Saya diberitahu seorang rakan dari Sarawak, bahawa dua orang penterjemah yang mengiringi mangsa tersebut ke Kuala Lumpur untuk membuat laporan polis ini, telah berdepan dengan gangguan, sehingga melarikan diri bersama keluarganya, ke satu tempat dan masih gagal dihubungi sehingga sekarang.
Bukan salah mereka
Jadi, persoalannya bukan "mengapa mereka tidak membuat laporan polis", tetapi "mengapa perlu mereka membuat laporan polis". Melihat kepada malapetaka yang menimpa mereka, apa perlunya mereka membuat laporan polis?
Bukan semua kawan yang berkongsi pengalaman pahitnya mahu membuat laporan polis. Mereka cuma berharap apa yang menimpa mereka dinampak, didengar, dan tidak diulang pada orang lain. Adalah hak mereka untuk membuat laporan polis atau tidak. Tetapi, ahli politik pula mencadangkan untuk menangkap mereka yang mendedahkan pengalaman mereka, bukankah ia sesuatu yang tidak masuk akal?
Seandainya kerajaan kita gagal menjamin keselamatan mangsa, menjamin agar keluarganya tidak diganggu; seandainya kerajaan gagal mewujudkan sistem yang lebih mesra untuk menyokong mereka; seandainya masyarakat masih diselubungi dengan prejudis terhadap orang Penan -- maka apa yang terpampang di depan mata selepas laporan polis dibuat bukanlah keadilan yang ditegakkan, sebaliknya pencabulan dan penyeksaan bersistematik yang dikitar semula.
Saya tidak menganggap kita layak atau mempunyai hak untuk mempersalahkan kawan-kawan kita ini berikutan keputusan mereka untuk tidak membuat laporan polis, sama ada mereka telah diuji selepas melalui prosedur laporan polis, kehakiman dan sebagainya, atau "mangsa yang mendiamkan diri".
Bukan sahaja mereka merana keseksaan eksploitasi seksual, malah mereka dengan tabah meneruskan hidupnya setiap hari selepas pencabulan berlaku. Mereka sedang mengatasi pengalaman ini. Bukankah kita harus mengkagumi ketabahan mereka?
Mangsa tersebut tidak harus memikul kesalahan kerana tidak membuat laporan polis.
*Wong Su Zane ialah Pengurus kerja sosial Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Life Line Association Malaysia para-counselor dan penyelia para-counselor. Disedut, diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari teks asal.
**Nota Editor: Penulis (Wong Su Zane) menggunakan istilah "kes penderaan" untuk merujuk kepada "mangsa penderaan", dalam tulisan asalnya. Bagaimanapun, istilah "mangsa" digunakan dalam terjemahan ini untuk memudahkan pemahaman kebanyakan pembaca.
Friday, July 16, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment