Pages

Thursday, July 15, 2010

Ekonomi S'pura dijangka menjulang 15% tahun ini

Jika menjadi kenyataan, pertumbuhan mungkin tertinggi di dunia

Oleh
Norhaiza Hashim

EKONOMI Singapura dijangka menjulang sehingga 15 peratus tahun ini, satu pencapaian tertinggi pernah dicatatkan negara ini.

Jika pertumbuhan itu menjadi kenyataan, Singapura bakal mencapai pertumbuhan ekonomi tertinggi di dunia tahun ini, menurut para pengamat.

Pemerintah mengejutkan pasaran dengan meningkatkan ramalan pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) kepada 13 hingga 15 peratus tahun ini.

Ia merupakan satu peningkatan besar berbanding ramalan awal 7 hingga 9 peratus, menurut kenyataan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), semalam.

'Singapura bakal menjadi ekonomi yang mencatatkan pertumbuhan paling kukuh di Asia tahun ini dan mungkin di dunia,' kata Pakar Ekonomi CIMB Research, Encik Song Seng Wun.

China, yang merupakan ekonomi gergasi di Asia, dijangka tumbuh sebanyak 10 peratus tahun ini.

Pertumbuhan tertinggi yang pernah dicapai Singapura ialah pada 1970 apabila GDP meningkat 13.8 peratus.

Ramalan ekonomi negara ditingkatkan menyusuli ramalan awal pertumbuhan kukuh GDP 19.3 peratus bagi suku kedua April hingga Jun tahun ini, mengatasi ramalan para pengamat 17.3 peratus.

MTI juga menyemak pertumbuhan GDP bagi suku pertama tahun ini kepada 16.9 peratus, berbanding pertumbuhan 15.5 peratus dianggarkan Mei lalu.

Ia bermakna ekonomi negara tumbuh pada paras rekod 18.1 peratus bagi separuh pertama tahun ini.

Menurut MTI, prestasi menggalakkan bagi suku kedua didorong sektor pengilangan yang meningkat 45.5 peratus.

'Pertumbuhan dirangsang penjulangan keluaran kelompok pengilangan biomedikal dan peluasan kukuh kelompok elektronik disebabkan permintaan sihat bagi produk elektronik dunia,' menurut MTI.

Hasil kegiatan binaan sektor awam yang lebih rancak, sektor itu tumbuh 13.5 peratus bagi suku kedua, berbanding 10.2 peratus suku pertama.

Industri perkhidmatan turut menunjukkan prestasi lebih baik bagi suku kedua, naik 11.4 peratus.

'Pertumbuhan dalam sektor-sektor berkaitan dagangan dirangsang aliran dagangan sejagat yang sihat, manakala pembukaan resort-resort bersepadu (IR) dan bilangan pelawat asing yang lebih tinggi telah mendorong sektor-sektor berkaitan pelancongan,' jelas MTI.

Kegiatan pinjaman di bank-bank setempat dan dagangan pertukaran mata wang asing yang tinggi turut mendorong sektor kewangan di sini.

'Walaupun kami jangkakan prestasi amat kukuh daripada sektor pengilangan, kami masih terkejut dengan keutuhan sektor binaan dan perkhidmatan, menggambarkan permintaan dalam negeri yang membara,' menurut Pengarah Urusan Kajian Ekonomi Asia HSBC, Encik Frederic Neumann.

Di sebalik kelakonan separuh pertama tahun ini yang baik, MTI memberi amaran bahawa rentak pertumbuhan ekonomi bagi separuh kedua tahun ini dijangka perlahan disebabkan tanda-tanda kelembapan dalam pasaran buruh di Amerika Syarikat dan masalah krisis hutang yang belum selesai di Kesatuan Eropah (EU).

'Pertumbuhan yang begitu cemerlang yang dicatatkan ekonomi Singapura bagi separuh pertama 2010 dijangka tidak akan dapat dikekalkan pada separuh kedua tahun ini.

'Terdapat juga faktor yang menjejas industri seperti penutupan loji pengilangan biomedikal bagi kerja-kerja baik pulih yang akan menjejas pertumbuhan,' jelas MTI.





No comments:

Posting Terkini