BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Encik Abhisit Vejjajiva, berkata semalam beliau akan membubar parlimen pada September dengan syarat 'Baju Merah' bersurai dan membongkar kem bantahan di pusat perniagaan Bangkok.
'Jika mereka tidak bersurai, saya tidak akan bubar parlimen,' kata Encik Abhisit dalam satu wawancara dengan ASTV.
Media lain Thai menukil Encik Abhisit sebagai berkata parlimen akan dibubar antara 15 dengan 30 September untuk merintis jalan bagi pilihan raya pada 14 November.
Apabila ditanya mengenai tarikh sebenar pembubaran parlimen, Encik Abhisit berkata: 'Sesiapa saja boleh mengagak tarikh tersebut.'
Para pemimpin 'Baju Merah' bertegas mereka tidak akan bersurai selagi tarikh tepat tidak dinyatakan.
'Mustahil bagi penunjuk perasaan bersurai sebelum kerajaan mengumumkan pembubaran parlimen,' kata seorang pemimpin 'Baju Merah', Encik Nattawut Saikuar.
Menurutnya, banyak perkara masih perlu dirundingkan.
'Kita masih ada masalah berhubung banyak isu. Oleh itu persetujuan bersama perlu dicapai terlebih dahulu,' kata beliau.
Seorang lagi pemimpin 'Baju Merah', Encik Weng Tojirakarn, mengingatkan penyokongnya agar berwaspada kerana Parti Demokrat pernah mungkir janji pada masa lalu.
'Kami tidak percayakan Parti Demokrat dan Abhisit,' katanya.
Parti Demokrat memberi amaran bahawa Encik Abhisit mungkin mengkaji semula tawaran pilihan raya jika 'Baju Merah' tidak bersurai dari pusat perniagaan Bangkok.
'Jika Baju Merah meneruskan bantahan, ada kemungkinan perdana menteri tidak jadi membubar parlimen,' kata timbalan jurucakap Parti Demokrat, Encik Warong Dechkitvigrom.
'Peta perdamaian bukan antara Baju Merah dan kerajaan, tetapi untuk semua rakyat. Mulai sekarang tidak akan ada rundingan dengan penunjuk perasaan,' tegas beliau.
Dalam perkembangan berasingan, pemimpin Pakatan Rakyat bagi Demokrasi (PAD), atau 'Baju Kuning', semalam menggesa Encik Abhisit meletak jawatan.
Mereka membantah peta per- damaian beliau dan berikrar akan menentang langkah meminda perlembagaan dan memberi pengampunan kepada pemimpin parti politik yang sudah dibubar.
'Kami menuntut perdana menteri menimbang semula dan membatalkan tarikh pilihan raya. Kami mahu beliau letak jawatan dan memberi laluan kepada orang lain,' tegas jurucakap 'Baju Kuning', Encik Suriyasai Katasila.
Seorang lagi pemimpin 'Baju Kuning', Encik Chamlong Srimuang, berkata masalah Thailand akan menjadi lebih teruk selepas Parlimen dibubar dan pilihan raya baru diadakan.
'Dengan membubar parlimen, perdana menteri telah berdamai dengan pengganas. Ini tidak baik buat negara ini dan kerajaan beraja,' katanya. -- Agensi.
Friday, May 7, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment