Pages

Monday, May 10, 2010

Jangan Nafi Hak Rakyat

TANPA disedari konflik dalaman yang melingkari keluarga diraja Kelantan sudah berlarutan hampir setahun sejak Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra kegeringan.

Sejak itu juga putera sulung baginda, Tengku Muhammad Faris Petra dilantik sebagai Pemangku Raja pada 24 Mei tahun lalu.

Hakikatnya persengketaan yang wujud hanyalah 'cerita keluarga' namun ia kini semakin membimbangkan kerana kemelut yang menyelubungi kerabat istana negeri itu sudah menular ke luar istana dan terbaru ia melibatkan campur tangan perundangan.

Bukan itu sahaja, kemelut yang berlaku ini juga mengundang pelbagai diskusi dan pandangan pihak luar yang ada kalanya hanya bersifat provokasi dan khabar angin.

Macam-macam cerita berlegar-legar sama ada dari mulut ke mulut, blog ke blog mahupun laporan media dengan pelbagai versi dapat diperoleh yang kononnya cuba merungkai konflik yang berlaku.

Pelbagai nasihat, saranan serta cadangan telah diutarakan oleh banyak pihak malah tidak kurang juga yang menyalahkan pihak tertentu kerana didakwa gagal membantu kerabat diraja itu bagi menyelesaikan persengketaan berkenaan.

Bagi penulis, 'cerita keluarga' golongan kerabat ini bukan lagi milik mutlak mereka, sebaliknya ia adalah kepunyaan seluruh rakyat Kelantan malah kini ia melangkaui batasan negeri itu.

Rata-rata rakyat Kelantan sendiri sebenarnya masih terus tertanya-tanya tentang situasi sebenar kemelut berkenaan dan ingin ia diselesaikan secara aman kerana ia melibatkan maruah kerabat diraja dan institusi beraja negeri itu.

Saban hari rakyat disajikan dengan pelbagai plot drama yang semakin tidak keruan jalan ceritanya.

Tinjaun mendapati pemahaman rakyat terhadap isu ini juga berbeza-beza bergantung kepada dengan siapa mereka berkongsi cerita atau medium bacaan mana yang mereka pilih bagi mengikuti perkembangannya.

Secara rawak mereka menyedari konflik istana yang berlaku melingkari Sultan Kelantan sendiri, Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid; Pemangku Raja dan adindanya, Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Bagi Mohd Fathuallah Mohd Nawi, 24, sebagai rakyat beliau menyifatkan konflik yang berlaku ini begitu memalukan dan menaruh harapan agar ia dapat diselesaikan segera dengan aman.

Menurut beliau, maruah dan ketinggian institusi yang terulung lagi disenangi rakyat itu perlu dipelihara dan dilindungi tanpa membiarkan pihak-pihak luar cuba menangguk di air keruh.

"Kami rakyat Kelantan mahu masalah ini diselesaikan segera, sebagai rakyat kami memang ingin sedaya upaya mempertahankan maruah institusi beraja negeri ini.

"Tapi harus diingat, masalah ini timbul di kalangan kerabat diraja sendiri... kami yakin Ke Bawah Duli Tuanku Pemangku Raja dapat menyelesaikan isu ini dengan sebaik mungkin," kata usahawan muda itu yang kini menjalankan perniagaan di Kuala Lumpur.

Menurut beliau lagi, rakyat melihat kemelut yang semakin meruncing itu hanya berkisar tentang perebutan takhta dan kuasa yang boleh diselesaikan dengan cara persepakatan.

"Kami sendiri sebenarnya kurang pasti isu apa yang sebenarnya yang terjadi sejak setahun yang lalu, tapi sebagai rakyat yang mengenali institusi beraja negeri ini, kami pasti ia adalah disebabkan takhta.

"Kalau benarlah ia berkaitan takhta, kami rakyat Kelantan mengharapkan perkara ini ditangani dengan sebaik mungkin... walau apapun, kami tetap menyayangi Ke Bawah Duli Tuanku Sultan kelantan dan sentiasa berdoa agar baginda segera sembuh," katanya.

Selain itu, Kim Lay Phoon, 35, seorang peniaga di bandar Kota Baru turut berharap kemelut yang melanda Istana Kelantan dapat ditangani dengan bijak.

Katanya sebagai rakyat beliau tidak mahu masalah yang timbul memberikan imej yang buruk kepada institusi beraja itu dan juga kepada seluruh rakyat Kelantan.

"Tak elok jika perkara ini terus macam ini, rakyat semua risau. Memang biasa kalau ada masalah dalam keluarga, tapi masalah itu kenalah kita selesaikan dengan baik... begitu juga keluarga diraja," katanya.

Jelas beliau lagi, masalah berkenaan juga dikuatiri akan memberi lebih tekanan kepada Sultan Kelantan yang kini masih gering.

"Perkara ini tak elok, sultan sekarang masih gering, kalau ada masalah macam ini tentu akan merisaukan baginda... kesihatan baginda perlu menjadi keutamaan,' katanya.

Dalam pada itu, Wan Khalsom Wan Jaafar, 40, seorang pekerja swasta turut melahirkan kebimbangannya terhadap isu berkenaan.

"Masalah ini sudah lama, sudah macam-macam cerita kita dengar. Yang paling utama yang rakyat nak tahu sekarang ialah tentang kesihatan Tuanku Sultan.

"Sebagai rakyat kami nak tahu keadaan sebenar sultan, sama ada dah beransur pulih, ataupun sebaliknya... rakyat mahukan kebenaran," katanya.

Apa yang pasti hak rakyat untuk mengetahui kisah sebenar disebaliknya konflik istana ini tidak boleh dinafikan.

Mereka berhak untuk mengetahui kedudukan sebenar sama ada status kesihatan Sultan Kelantan mahupun hal lain yang melibatkan institusi diraja berkenaan.

Kemelut yang berlaku ini tidak seharusnya dibiarkan terus parah hingga menggalakkan pandangan negatif pelbagai pihak bukan sahaja melibatkan institusi beraja Kelantan malah bagi negeri-negeri lain.


No comments:

Posting Terkini