Pages

Friday, May 14, 2010

Bekas pemimpin Al-Arqam meninggal

IPOH: Bekas pemimpin kumpulan Al-Arqam yang diharamkan, Ashaari Muhammad, 73 tahun, meninggal dunia semalam selepas tiga hari dimasukkan ke Hospital Pakar Ipoh, di sini, kerana jangkitan paru-paru.

Ashaari yang juga pengerusi Syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd berada di sini dalam siri lawatan ke rangkaian perniagaan syarikat berkenaan.

Seorang kakitangan syarikat itu, Encik Marzuki Hussein, 57 tahun, berkata jenazah Allahyarham Ashaari, yang dipanggil Abuya oleh para pengikutnya, telah dibawa ke kampung asalnya di Kampung Pilin, Rembau, untuk dikebumikan.

Menurutnya, Ashaari berada di Ipoh selepas melawat Thailand dan Kedah dan dikejarkan ke hospital Isnin lepas selepas mengadu sakit dada.

Jurucakap hospital berkata Ashaari meninggal dunia pada 2.10 petang semalam.

'Ini siri lawatan biasa ke rangkaian perniagaan Global Ikhwan,' kata Encik Marzuki kepada pemberita selepas jenazah Allahyarham Ashaari disembahyangkan di sebuah banglo milik syarikat itu di sini.

Encik Marzuki berkata banglo itu adalah rumah tamu syarikat berkenaan.

Rombongan yang membawa jenazah Allahyarham ke Rembau berlepas dari rumah itu sekitar 5.30 petang. Kira-kira 200 pengikut Allahyarham turut berada di rumah tersebut.

Kumpulan Al-Arqam diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 1994.

Apabila ajaran Al-Arqam diharamkan, Ashaari ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 2 hingga 24 September 2004 sebelum ditahan mengikut Akta Kediaman Terhad di Rawang dekat sini dan Wilayah Persekutuan Labuan selama 10 tahun.

Al-Arqam yang diasaskan oleh Ashaari dikenali juga sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah dan aktivitinya berada di puncak sekitar lewat '80-an dan '90-an dan dilaporkan mempunyai kira-kira 10,000 pengikut. -- Bernama.


No comments:

Posting Terkini