RAMALLAH (Tebing Barat): Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, telah diundang menemui Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, di Washington bulan depan bagi membincangkan usaha menyambung semula rundingan damai dengan Israel.
Undangan itu disampaikan duta khas Encik Obama ke Timur Tengah, Encik George Mitchell, yang menemui Encik Abbas di Tebing Barat Jumaat lalu, kata ketua perunding Palestin, Encik Saeb Erakat.
Encik Abbas dikatakan memberi jawapan positif terhadap undangan itu. Namun, tarikh rundingan belum ditetapkan.
Sabtu lalu, Encik Abbas menggesa Encik Obama agar memaksa satu perjanjian damai Timur Tengah, sekali gus mencerminkan kekecewaannya ekoran kegagalan Washington mendapatkan tolak ansur dari pemerintah tegar Israel di bawah Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu.
Dalam satu rayuan lantang, Encik Abbas berkata jika Encik Obama berpendapat sebuah negara Palestin itu penting bagi kepentingan Amerika, maka beliau harus mengambil langkah tegas mencapainya.
'Oleh kerana anda dan pegawai pentadbiran Amerika yakin mengenainya, adalah menjadi tanggung jawab anda mengambil langkah mencapai huraian dan memaksa penyelesaian,' kata Encik Abbas dalam ucapannya kepada pergerakan Fatah pimpinannya.
'Jangan kata ia satu strategi penting bagi Amerika tetapi anda tidak berbuat sesuatu,' tegasnya.
Washington telah mengenakan tekanan kepada Palestin dan Israel agar kembali ke meja rundingan.
Tetapi, para pemimpin Palestin enggan menyambung rundingan selagi Israel enggan membekukan pembinaan petempatan di Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur.
Akhbar Israel, Haaretz, berkata Encik Obama telah memberitahu Encik Abbas bahawa beliau tidak berhasil memujuk Encik Netanyahu agar membekukan pembinaan petempatan di Baitulmakdis Timur, tetapi berkata beliau tidak akan melakukan tindakan 'utama' semasa rundingan berlangsung. -- AP, AFP, Reuters.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment