Pages

Sunday, April 25, 2010

PM Thai arah tentera guna kekerasan

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand telah mengarahkan panglima tentera Thailand, Jeneral Anupong Paojinda, agar menggunakan kekerasan bagi menyuraikan para penunjuk perasaan anti-kerajaan, kata seorang pemimpin Barisan Bersatu Demokrasi menentang Diktator (UDD) atau Baju Merah, Encik Jatuporn Prompan, semalam.

'Encik Abhisit memberitahu Jeneral Anupong bahawa beliau tidak akan membubarkan parlimen atau berunding dengan pemimpin UDD,' kata Encik Jatuporn, lapor Bangkok Post semalam.

Beliau mendakwa maklumat itu diberi oleh seorang 'askar tembikai' (bermaksud askar yang bersimpati dengan Baju Merah) di Pusat bagi Menghurai Keadaan Darurat (Cres).

Menurut Encik Jatuporn, Jeneral Anupong memberitahu Encik Abhisit bahawa beliau akan menunggu masa yang tepat untuk melancarkan operasi terhadap 'Baju Merah'.

Para panglima tentera kini menunggu arahan daripada Jeneral Anupong, kata beliau.

'Cres sekarang cuba memisahkan pengganas daripada 'Baju Merah'. Kami tidak akan bertindak terhadap penunjuk perasaan. Tetapi ini tidak bermakna kami tidak akan menyuraikan tunjuk perasaan,' kata jurucakap Cres, Kolonel Sansern Kaewkamnerd.

Perkembangan itu berlaku sehari selepas 'Baju Merah' berkata Jumaat lalu bahawa mereka akan menamatkan tunjuk perasaan di Bangkok jika kerajaan membubarkan parlimen dalam masa 30 hari.

Tetapi tawaran itu ditolak Encik Abhisit, yang berkata:

'Saya tidak akan terus (memegang jawatan) jika saya tak bertekad untuk menghurai masalah ini.'

Beliau dan pegawai kanan kerajaan mengadakan mesyuarat di sebuah pangkalan tentera kelmarin untuk menimbang tawaran terbaru Baju Merah.

Jurucakap kerajaan, Encik Panitan Watanayagorn, kemudian berkata Encik Abhisit berharap rundingan akan dapat menamatkan konflik.

Tetapi ia tidak seharusnya dibuat 'di bawah tekanan atau ancaman.'

'Kami sedia berunding. Tetapi rundingan tidak boleh diadakan dalam suasana ancaman dengan mereka yang melanggar undang-undang,' tegasnya kepada Reuters.

Jeneral Anupong Jumaat lalu berkata penggunaan kekerasan bukan huraian bagi krisis sekarang.

'Yang paling baik ialah mewujudkan persefahaman di kalangan rakyat.

'Tugas tentera ialah melindungi rakyat dan tidak membenarkan rakyat Thai menyerang satu sama lain,' tegas beliau. -- Agensi


No comments:

Posting Terkini