Pages

Friday, April 30, 2010

Anak Aquino dijangka menang besar

MANILA: Anak lelaki hero demokrasi Filipina, mendiang Corazon Aquino, dijangka menang besar dalam Pilihan Raya Presiden pada bulan depan.

Menurut satu tinjauan terbaru yang diumumkan oleh Pulse Asia semalam, 39 peratus daripada responden berkata mereka akan mengundi Encik Benigno Aquino.

'Dengan hampir empat dalam setiap 10 pengundi Filipina menyokongnya, Senator Aquino kekal di tangga depan sebagai calon Pilihan Raya Presiden pada Mei ini,' kata Pulse Asia.

Di tempat kedua ialah pemaju hartanah jutawan, Encik Manuel Villar, dan mantan Presiden Joseph Estrada, yang masing-masing mendapat 20 peratus sokongan.

Encik Villar, yang sebelum ini dilihat sebagai pencabar utama Senator Aquino, melihat sokongannya merosot 5 peratus berbanding tinjauan yang diadakan pada awal bulan ini.

Sokongan terhadap Senator Aquino dan Encik Estrada pula meningkat 2 peratus.

Pada 1998, Encik Estrada menang dalam Pilihan Raya Presiden apabila berjaya meraih 39 peratus daripada undi.

Namun, pemerintahannya berakhir dengan tiba-tiba pada 2001 apabila beliau didakwa mengamalkan rasuah.

Tinjauan terbaru oleh Pulse Asia itu dijalankan 23-25 April lalu dan melibatkan 1,800 pengundi berdaftar.

Tinjauan itu merupakan yang terakhir dilakukan sebelum pilihan raya.

Senator Aquino meraih simpati apabila ibunya meninggal dunia lewat tahun lalu dan ini dijadikan sebagai batu loncatan dalam kempen Pilihan Raya Presiden.

Mendiang Corazon Aquino memimpin 'kuasa rakyat' dalam usaha mengguling Ferdinand Marcos pada 1986, sebelum menjadi Presiden selama enam tahun.

Sekitar 50 juta penduduk dijangka keluar membuang undi pada 10 Mei ini untuk memilih pengganti Presiden Gloria Arroyo, yang perlu berundur pada 30 Jun ini.

Sokongan ke atas seorang lagi calon Presiden, mantan Setiausaha Pertahanan, Encik Gilberto Teodoro, kekal pada paras hanya 7 peratus.

Encik Teodoro dipilih oleh Cik Arroyo sebagai calon penggantinya. -- AFP.


No comments:

Posting Terkini