Pages

Monday, December 7, 2009

Tidak perlu kertas kerja untuk pinjaman RM500

KUALA LUMPUR- Karenah birokrasi seperti syarat menyediakan kertas kerja oleh usahawan kecil bagi permohonan pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) akan dihapuskan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim berkata langkah tersebut bagi memastikan supaya tidak timbul kesulitan kepada peniaga terutama yang hanya ingin meminjam sebanyak RM500.

"Saya akan bincang mengenai perkara ini (mengurangkan karenah birokrasi) dan kita akan buat sebaik dan semudah mungkin untuk rakyat," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Marcus Mojigoh (BN-Putatan) pada persidangan hari ini.

Mojigoh bertanya mengenai langkah yang akan dilakukan kementerian itu bagi mengatasi masalah usahawan kecil yang kurang berpelajaran seperti peniaga ikan yang disyaratkan membuat kertas kerja ketika memohon pinjaman Tekun yang menyediakan pembiayaan antara RM500 dan RM50,000.

Kepada soalan tambahan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat), Rohani berkata dakwaan kononnya peniaga susah mendapatkan borang Tekun yang kini diberikan secara percuma harus disertakan dengan bukti untuk menyokong tuduhan tersebut.

"Sebenarnya borang boleh diperoleh di pejabat Tekun yang terdapat di setiap kawasan Parlimen dan permohonan boleh dibuat tanpa cagaran dan penjamin.

Sekiranya wujud kes borang susah untuk dapat atau perlu dibayar, mereka yang membuat dakwaan perlu beri maklumat kepada kementerian supaya kita dapat melakukan penyiasatan dan pembaikan," katanya.

Menjawab soalan asal Kulasegaran, beliau berkata sehingga 31 Sept tahun ini, sebanyak 188,708 pembiayaan bernilai RM1.385 bilion telah dikeluarkan menerusi Tekun kepada 150,988 usahawan di seluruh negara.

"Daripada jumlah ini sebanyak 31,716 usahawan telah mendapat pembiayaan ulangan berjumlah RM433.84 juta," katanya. Beliau berkata Tekun Nasional tidak menghadkan jumlah kali pinjaman yang boleh diluluskan kepada seseorang usahawan.

Katanya terdapat di kalangan usahawan yang menerima pinjaman Tekun sebanyak enam kali.
-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini