Pages

Thursday, November 19, 2009

SKMM siasat 71 kes penyalahgunaan internet

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sedang menyiasat 71 kes penyalahgunaan internet bagi menyebarkan kandungan lucah, palsu serta menghina Islam.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata daripada jumlah itu, lapan kes telah dikenakan tindakan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana kandungan yang menghina seseorang.

"Seorang telah mengaku bersalah dan didenda sebanyak RM10,000 dan mahkamah telah mengenakan syarat tertentu yang lain, manakala tujuh tertuduh lagi sedang menunggu perbicaraan," katanya semasa menjawab soalan Matulidi Jusoh (BN-Dungun) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Rais berkata, tujuh kes pula terbabit dengan menyebarkan kandungan menghina Islam, termasuk satu kes di mana suspek yang telah pun dikenal pasti, melarikan diri bagi mengelak daripada dikenakan tindakan.

"SKMM sedang berusaha untuk mengesan suspek tersebut," katanya.

Rais berkata, kementerian juga telah mengambil tindakan menurut Seksyen 263 akta tersebut terhadap tujuh laman web yang menghina Islam iaitu www.syurga-islam.blogspot.com, www.faithfreedom.org dan manatuhanallah.wordpress.com.

Laman web lain ialah adibahahmad.blogspot.com, surind.blogspot.com, tokbatinsenoi.blogspot.com dan www.malaysia-today.net/2008/content/view/1252.

Beliau berkata, selain mendakwa mereka yang terbabit di bawah undang-undang, Seksyen 263 akta tersebut turut membenarkan SKMM dan pihak berkuasa lain untuk memberikan notis bertulis kepada pemberi perkhidmatan internet untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam mencegah pelakuan atau cubaan pelakuan sesuatu kesalahan.

Semasa menjawab soalan Hamim Samuri (BN-Ledang) mengenai keberkesanan Pusat Jalur Lebar (PJK), Rais berkata sehingga kini terdapat 85 buah PJK beroperasi di seluruh negara dan tambahan sebanyak 89 PJK sedang dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun ini.

"Pertengahan tahun depan, penembusan jalur lebar akan jadi lebih hebat dan dijangka kelajuan daripada 4 mbps meningkat kepada 10 mbps akan kita capai, jadi PJK ini akan dilengkapkan dengan kemudahan sekurang-kurangnya bagi mencapai tahap kelajuan 4 mbps," katanya. - Bernama

No comments:

Posting Terkini