ALOR STAR: Keberanian tiga warga emas berjaya menumpaskan percubaan seorang pencuri bogel yang memecah masuk rumah mereka di Anak Bukit di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian sekitar 8.30 malam itu, pencuri yang menyangka memperolehi habuan kerana rumah berkenaan didiami warga emas tewas apabila ditangkap.
Ketika kejadian, tiga warga emas itu - Cik Anisah Sheikh Yahya, 60 tahun; dan adiknya, Encik Zainal Abidin, 58 tahun; serta kakak iparnya, Cik Norizan Shafie, 59 tahun - sedang menonton televisyen di dapur rumah setingkat itu dan tidak menyedari kehadiran suspek yang masuk melalui tingkap di bilik belakang.
Cik Anisah, yang juga pemilik rumah itu, berkata beliau hanya menyedari kejadian tersebut selepas menantunya, Encik Azzanudin Mohd Rejab, 33 tahun, membuka lampu bilik belakang untuk mengambil beg pinggangnya yang tertinggal sebelum terdengar jeritan.
'Kami bertiga yang terkejut mendengar jeritan itu melihat seorang lelaki tiba-tiba keluar dari bilik belakang dalam keadaan bogel sebelum masuk ke bilik depan.
'Kami menangkap lelaki itu, yang terperangkap di bilik depan kerana semua tingkap berkunci,' katanya.
Menurut Cik Anisah, Cik Norizan dan Encik Zainal Abidin bertindak memegang lelaki itu dan menjerit meminta pertolongan jiran.
Beliau berkata lelaki itu meronta-ronta berusaha melepaskan diri tetapi dengan kudrat yang ada, ketiga-tiga mereka memegangnya dengan kuat untuk mengelakkan suspek berusia 30-an tahun itu melarikan diri.
Katanya, suspek yang hanya memakai tuala mandi masuk melalui lubang angin sebelum menanggalkan tualanya di luar rumah, manakala rakannya sempat melarikan diri.
'Disebabkan suspek berbogel, saya membaling langsir ke arahnya untuk menutup badannya sebelum polis tiba. Kami juga mengikat tangan dan kakinya pada katil,' katanya.
Ketiga-tiga warga emas itu tidak mengalami sebarang kecederaan, malah suspek gagal melarikan barang berharga yang terdapat di rumah itu. -- BHM.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment