Pages

Wednesday, October 14, 2009

Naza akan keluarkan empat model baru

GURUN- Naza Automotive Manufacturing Sdn Bhd (Naza) akan mengeluarkan empat model baharu tahun depan bagi mencapai sasaran menguasai lapan peratus segmen kenderaan penumpang menjelang 2012.

Pengerusi Eksekut f Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata model baharu bagi jenama Kia dan Peugeot itu adalah dalam segmen sederhana.

Beliau berkata tahun ini, syarikat menjangkakan menguasai sekitar empat peratus atau 24,800 unit kenderaan.

"Kami yakin menerusi pengenalan dan sistem jaringan yang diperkemas, sasaran 2012 akan tercapai," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat tawaran kepada 25 pekerja bahagian automotif untuk mengikuti kursus Diploma Eksekutif Pengurusan Pembuatan Naza di syarikat itu.

Kursus lapan bulan yang dijayakan dengan kerjasama Persatuan Pengamal Perniagaan United Kingdom (SBP UK), itu merupakan sebahagian daripada program pembelajaran bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan modal insan pekerja syarikat.

Beliau berkata syarikat itu akan melancarkan Naza Suria Facelift (segmen A-kecil) bulan ini dan Naza Force (segmen B-sederhana) bulan depan.

Menurut SM Nasarudin, Kumpulan Naza akan melancarkan penjenamaan semula tidak lama lagi.

"Naza mahu menjadikan Malaysia sebagai hub pemasangan bagi pembuat kereta Peugeot dan Kia untuk pasaran Asean dan model khusus untuk pasaran Malaysia.

"Kami akan berusaha menyakinkan rakan kongsi, dengan menawarkan kilang pemasangan di Gurun yang berkapasiti mengeluarkan 55,000 buah kenderaan setahun, supaya memindahkan operasi pemasangan mereka ke Malaysia," katanya.

Beliau berkata langkah itu bertujuan menjalin kerjasama jangka panjang dengan kedua-dua syarikat terbabit yang diyakini akan melonjakan penjualan kereta jenama Peugeot dan Kia di Malaysia.

Katanya Naza juga masih dalam peringkat rundingan dengan Kia Motors yang berpangkalan di Korea Selatan untuk membuat kajian bagi mengeluarkan kenderaan hibrid.

"Saya yakin syarikat itu memiliki teknologi hijau dan kami juga akan berbincang untuk membawa teknologi hijau itu ke Malaysia," katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini