Pages

Wednesday, October 14, 2009

70 Peratus Pendapatan Negeri Selangor Dari Hasil Cukai Sumber Tanah

Kerajaan Negeri Selangor boleh meningkatkan lagi hasil pendapatan dari sumber tanahnya sekiranya semua pemilik tanah di negeri itu bertanggungjawab menjelaskan cukai tanah mengikut masa yang diperuntukkan setiap tahun.

Ini adalah kerana 72 peratus hasil negeri ini datang daripada kutipan hasil dari sumber tanah, kira-kira 2.5 juta ringgit yang diperolehi sepanjang 2006 hingga 2008.

Sehingga 31 Ogos tahun ini, Perbendaharaan Negeri Selangor mencatatkan kutipan cukai semasa sudah mencecah 80 peratus, iaitu kira-kira 326 juta ringgit daripada jumlah kutipan cukai tanah yang perlu dikutip setiap tahun.

Sehingga kini, hampir 23 peratus kutipan tunggakan cukai tanah berjaya dikutip daripada jumlah keseluruhannya iaitu 323 juta ringgit.

Menyedari kepentingannya kepada sumber pendapatan negeri, Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Datuk Abdul Nasir Hasan membentangkan beberapa cadangan menambahbaik sistem kutipan cukai tanah sedia ada agar lebih cekap dan efisien untuk membendung kebocoran hasil negeri yang gagal dikutip setiap tahun pada Dialog Bajet 2010 semalam.

Penglibatan beberapa peserta pada pembentangan tersebut juga turut mengutarakan beberapa kaedah terbaik untuk membantu kerajaan negeri meningkatkan kutipan hasil cukai tanahnya kelak.

Antara kerumitan yang dikenalpasti faktor penyumbang kegagalan kutipan hasil cukai dibuat ialah pengkalan data yang menyimpan rekod pemilik tanah tidak dikemaskini dari semasa ke semasa.

“Ada orang yang memang laporan tidak tepat, alamat tidak tepat, butiran tidak tepat, diberikan nama tanah, diberikan borang, tapi bila kita nak surf tanah dia tak ada orang pun tak ada. Saya berbincang dengan Datuk Zul tadi dari Petaling, kita agaknya kadang-kadang menggunakan nama, alamat orang-orang mengikut agreement atau mengikut d link, material dokumen dalam dlink dia akhirnya bila kita hantar, yang dibalikkan oleh postman berguni-guni dibalikkan, yang tak sampai maknanya tak sampai kepada alamat-alamatnya kerana alamat itu tidak mencerminkan sebenarnya alamat akhir di mana orang-orang yang terpaksa membayar dalam bentuk premium, dalam bentuk cukai tanah dan sebagainya didapati tidak menerima notis untuk pembayaran tersebut”, kata Datuk Dr Hassan.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali berucap merumuskan hasil pembentangan kertas kerja Pengarah PTG yang bertajuk ‘Kaedah Meningkatkan Kutipan Hasil Negeri Selangor’ di Shah Alam semalam.

Antara kaedah yang boleh dilaksanakan untuk tujuan itu ialah mempertingkatkan hebahan kesedaran membayar cukai tanah di papan-papan tanda, menyediakan kaunter bergerak di seluruh Selangor khususnya kawasan luar bandar, menyediakan kemudahan membayar cukai secara atas talian (On-line), memberi kemudahan bayaran cukai secara ansuran kepada cukai tertunggak dan menguatkuasa undang-undang dengan merampas tanah yang tidak dijelaskan cukainya.

“Pertama sekali tentang proses pemutihan ini, pendekatan yang digunakan oleh PTG tadi, this is the gold mine, ini harta karun, kenapa tidak dipanjangkan, diluaskan proses pemutihan bukan saja kilang-kilang haram yang dibuat YB Ean, tetapi banyak lagi sebenarnya itu. Kalau kita mengambil tindakan pemutihan ini, kita ambil betul-betul jalankan seluruh negeri Selangor ini, dengan ditambah dengan kekuatan ada political wing, rasanya ini akan memberikan excercisible dari segi pulangan kepada kerajaan negeri”, jelasnya lagi.

Mereka yang menghadiri Dialog Bajet 2010 semalam terdiri daripada Exco Selangor, Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan, Yang Dipertua PBT, Ketua-ketua Jabatan, Pegawai Kerajaan Negeri dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Selangor.

Kira-kira 500 jemputan termasuk peserta menghadiri Majlis Dialog Bajet 2010 yang julung-julung kali diadakan. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments:

Posting Terkini