Pages

Sunday, September 13, 2009

Umno setuju hapuskan sistem kuota

KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) Umno pada dasarnya bersetuju menghapuskan sistem kuota serta memberi peluang kepada lebih ramai perwakilan untuk membuat pemilihan pada perhimpunan agung parti.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, berkata keputusan itu bertujuan membanteras politik wang serta menjadikan proses pemilihan parti lebih telus dan demokratik, selain menunjukkan Umno sebagai parti yang lebih inklusif dengan membabitkan seberapa ramai golongan.

Perdana Menteri Malaysia itu bagaimanapun berkata, MT akan mewujudkan kriteria tertentu untuk jawatan tertinggi yang akan dipertandingkan supaya mereka yang bertanding benar-benar memahami dan menghayati prinsip serta matlamat perjuangan parti.

'Kriteria untuk bertanding mesti tidak mengongkong, tetapi lebih menjurus kepada kebebasan. Maknanya sedikit sebanyak pengalaman dijadikan asas untuk menentukan kriteria yang sewajarnya. Kriteria itu akan ditentukan kemudian,' katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT di sini, kelmarin.

Pada mesyuarat lebih tiga jam itu, MT membincangkan cadangan Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan Umno yang dipengerusikan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, sebelum dikemukakan dalam perhimpunan agung khas, bulan depan.

Antaranya, menghapuskan sistem kuota yang diperkenalkan Umno pada 1988.

Sistem itu menetapkan mereka yang ingin bertanding jawatan Presiden perlu mendapat sekurang- kurangnya 30 peratus pencalonan atau 57 daripada 191 bahagian Umno.

Timbalan Presiden, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri pula mesti mendapat minimum 20 peratus pencalonan atau 38 bahagian; Naib Presiden (10 peratus/19 bahagian); Naib Ketua Wanita, Pemuda, Puteri (15 peratus/28 bahagian), manakala anggota MT (5 peratus/10 bahagian).

Pemilihan bagi semua jawatan tertinggi Umno yang akan datang, dijadualkan berlangsung pada perhimpunan agung parti 2011.

Mengenai jumlah perwakilan, Datuk Seri Najib berkata, saiznya belum ditentukan sama ada ia akan dibuka seluasnya atau terhad kepada sejumlah perwakilan tertentu saja.

'Tapi keputusannya nanti tentu sekali jauh lebih besar daripada yang diamalkan sekarang, iaitu sebanyak 2,500 perwakilan... ia mungkin ribuan perwakilan tambahan yang akan diberi hak untuk memilih jawatan tertinggi,' katanya.

Sebelum ini, ada cadangan dikemukakan supaya semua 3.4 juta anggota Umno diberi peluang untuk mengundi, tetapi sesetengah pihak mencadangkan hak mengundi itu diberikan kepada 60,000 perwakilan di 191 bahagian.

No comments:

Posting Terkini