Pages

Sunday, September 13, 2009

Mahathir ulas teguran Samy Vellu

PETALING JAYA: Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, menjelaskan kenyataan beliau dalam sebuah akhbar berbahasa Tamil sebelum ini mengenai kelemahan Presiden Kongres India Malaysia (MIC), Datuk Seri Samy Vellu, tidak mempunyai kaitan dengan pemilihan parti itu semalam.

Sebaliknya, beliau hanya memberi pandangan umum bahawa MIC tidak akan dapat dipulihkan selagi ia diterajui Datuk Seri Samy Vellu.

Dr Mahathir berkata, sebelum pilihan raya umum Mac tahun lalu lagi beliau sudah menyatakan dalam temu ramah bersama sebuah stesen televisyen bahawa MIC akan tewas selagi dikuasai Datuk Seri Samy dan perkara itu menjadi kenyataan.

'Kalau dulu semua (orang India) sokong MIC, sekarang ini tidak ramai yang sokong dan mereka beri alasan yang sama iaitu mereka bosan dengan Samy yang mahu kuasai MIC sampai siapapun tidak boleh ambil alih daripada dia.

'Siapa yang jadi timbalan (dia), bila lama sikit dan nampak orang itu popular, dia cantaslah,' katanya yang ditukil akhbar Utusan Malaysia.

Dr Mahathir mengulas kritikan Datuk Seri Samy Vellu yang mendakwa beliau mencampuri urusan pemilihan parti itu dengan mengeluarkan kenyataan yang menjejas maruahnya.

Kenyataan berbunyi Datuk Seri Samy Vellu tidak membuat apa-apa untuk kaum India di negara ini disiarkan oleh akhbar Makkal Osai.

Dalam kenyataan itu, Dr Mahathir berkata, kaum India tidak wajar menyokong Datuk Seri Samy dan harus memilih pemimpin yang berkaliber seperti mantan Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam, yang merupakan seteru politik Datuk Seri Samy Vellu.

Mengenai dakwaan Datuk Seri Samy bahawa beliau tidak pernah membantu orang India, Tun Mahathir berkata, ia bukannya kali pertama disebut oleh Presiden MIC itu.

Katanya lagi, satu ketika dahulu Datuk Seri Samy pernah membuat kenyataan yang sama dalam sebuah akhbar, tetapi kemudiannya menghubungi beliau di Syria untuk membuat penafian kononnya laporan itu tidak benar.

Semalam, seramai 1,469 perwakilan MIC mengundi dalam pemilihan pucuk pimpinan parti itu yang dianggap paling panas dan menarik perhatian semua pihak.

Penyandang jawatan Timbalan Presiden, Datuk G Palanivel, mempertahankan jawatannya dan berdepan dengan Datuk Subramaniam dan Naib Presiden, Datuk S Sothinathan.

Datuk Seri Samy Vellu mengekalkan jawatan presiden MIC tanpa bertanding bagi penggal ke-11 berturut-turut, sehingga 2012.

No comments:

Posting Terkini