Pages

Thursday, September 10, 2009

Suhakam minta rakyat undi yang pro hak asasi

KUALA LUMPUR, 10 Sept: Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Abu Talib Othman mengingatkan rakyat negara ini supaya mengundi mereka yang pro hak asasi untuk menyelesaikan isu tersebut di negara ini.

Sambil mengakui bahawa Malaysia tidak mempunyai rekod hak asasi yang sempurna, beliau mengingatkan bahawa Suhakam hanyalah "ciptaan undang-undang" dan penyelesaiannya terletak di tangan para pengundi.

"Jika anda mengundi mereka yang sepatutnya ke Parlimen, mereka akan meminda undang-undang untuk memberi kuasa kepada kita (dalam memperjuangkan hak asasi)," katanya ketika menjawab soalan para peserta Persidangan Hari Hak Asasi Manusia Malaysia 2009 bertemakan hak asasi manusia di Malaysia sepanjang 10 tahun lalu.

Beliau mengakui, sebagai badan penasihat tanpa kuasa eksekutif, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh Suhakam untuk memastikan kerajaan memberi respon serta bertindak setelah pihaknya menyampaikan cadangan.

Mengenai hak asasi di negara ini, Abu Talib mengakui bahawa pencabulan ke atasnya berlaku setiap hari.

Dalam ucapannya sebelum itu, beliau memberitahu bahawa siasatan Suhakam ke atas aduan mengenai penyalahgunaan kuasa mendapati kebanyakannya memang mempunyai asas dari segi undang-undang.

Aduan tersebut termasuk kegagalan polis untuk bertindak, penggunaan kekerasan yang berlebihan, pandakwaan berpilih, mati ketika dalam tahanan, melewat-lewatkan permohonan untuk mendapatkan kewarganegaraan dan penafian hak ke atas tanah yang diwarisi.

Beliau mengingatkan kerajaan bahawa tindakan mematahkan suara yang berbeza dari apa yang yang dikehendaki kerajaan serta menyekat media bebas dan terbuka akan hanya menggalakkan "kempen bisik-bisik" yang akan mengakibatkan keresahan sosial.

Bagi memastikan semua pihak dijamin hak asasi mereka, rakyat bukan saja memerlukan undang-undang yang sempurna, bahkan pihak yang menguatkuasakan undang-undang juga mesti dikalangan orang yang berwibawa tanpa ada sikap pilih kasih, kata Abu Talib.

Sehubungan itu, katanya, Suhakam menggesa supaya tindakan yang sama rata dikenakan ke atas mereka yang disabitkan kesalahan kerana kedudukan semua pihak sama di sisi undang-undang.

No comments:

Posting Terkini