Aceh rancang laksana syariah
BANDA ACEH: Aceh dijangka melaksana undang-undang jenayah Islam yang ketat, termasuk merejam hingga mati mereka yang sudah berumah tangga ditangkap melakukan zina, kata seorang anggota parlimen semalam.
Pasangan belum bernikah yang melakukan zina akan disebat seratus kali dan pasangan sudah berumah tangga akan direjam hingga mati, kata Encik Raihan Iskandar, anggota parlimen Parti Keadilan Sejahtera (PKS). -- AFP.
Uji makanan angkasawan
SEOUL: Korea Selatan merancang membekalkan empat jenis makanannya, termasuk kimchi, iaitu sayur-sayuran yang diawet, kepada Russia bagi satu ujian kebolehlaksanaan penerokaan angkasa lepasnya ke planet Marikh, kata Institut Kajian Tenaga Atomik Korea semalam.
Institut itu berkata ia telah menandatangani satu perjanjian kajian bersama dengan Institut Masalah Biomedikal Moscow bagi versi 'siap dimakan' bulgogi (daging lembu panggang), bibimbap (nasi bercampur sayur-sayuran dan telur), sup rumpai laut dan kimchi serta dua minuman. -- AFP.
Mayat dipercayai korban nahas
MANILA: Polis pantai Filipina menemui mayat seorang wanita memakai jaket keselamatan terapung-apung semalam, dan berkata beliau mungkin antara 10 yang dilapor terbunuh selepas sebuah feri penumpang karam di selatan negara itu baru-baru ini.
Walaupun semua 968 penumpang dan kakitangan feri itu telah dipastikan, dua kapal polis pantai masih meronda di perairan luar pantai wilayah Zamboanga del Norte andainya ada penumpang yang tidak dikenal pasti, kata Laksamana Wilfredo Tamayo. -- AP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment