KUALA LUMPUR: Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu pada Ahad dikritik beberapa perwakilan yang mengambil bahagian dalam perbahasan ucapan presiden pada hari kedua perhimpunan agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Seorang perwakilan dari Selangor berkata presiden parti telah menghantar kad hari lahir kepada seorang pemimpin cawangan yang telahpun meninggal dunia empat tahun lalu.
Perwakilan itu berkata isteri mendiang pemimpin itu telah melahirkan rasa kesal dengan penghantaran kad itu dan meminta presiden parti itu supaya mengelak daripada berbuat sedemikian pada masa depan.
Seorang lagi perwakilan dari Kubang Pasu, Kedah berkata bahawa ia mengambil masa sembilan tahun bagi masyarakat India di situ untuk membeli sebidang tanah bagi membina sebuah sekolah Tamil dan telah berjumpa dengan Samy Vellu untuk bantuan kewangan bagi pembinaannya.
Bagaimanapun, katanya, walaupun menghantar surat dan menemui Samy Vellu tiga kali, tiada perkembangan positif daripada pemimpin itu setakat ini.
Seorang lagi perwakilan dari Kedah menegaskan bahawa sebab utama masalah Kampung Buah Pala adalah disebabkan "kegagalan" pemimpin MIC untuk menangani isu dari peringkat awal.
Ini mendorong Samy Vellu untuk mencabar perwakilan itu membuktikan dakwaannya dengan berkata bahawa beliau (Samy Vellu) bersedia untuk meletak jawatan dalam parti jika perwakilan itu dapat membuktikannya.
Seorang lagi perwakilan berkata sementara pandemik Influenza A(HINI) adalah baru -- yang memberi kesan kepada negara sejak beberapa bulan kebelakangan ini, bagaimanapun, beliau berkata ia telah "menjejaskan" MIC sejak 8 Mac 2008 apabila parti itu mengalami kekalahan yang memalukan dalam sejarah 63 tahun penubuhannya.
Sementara itu, walaupun mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan bahawa beliau campur tangan dalam hal dalaman MIC, beliau juga dikritik para perwakilan.
"Tak perlu nasihat" kata seorang seorang perwakilan dari Negeri Sembilan dan seorang lagi berkata: "Tolong jaga urusan sendiri. Kami tahu apa yang kami lakukan".
Seorang perwakilan wanita meminta parti supaya mengeluarkan satu reka bentuk uniform baru untuk kegunaan rasmi semasa majlis parti kerana mereka telah menggunakan reka bentuk yang ada sejak 10 tahun lalu dan Samy Vellu berkata reka bentuk baru sedang dirancang.
Seorang perwakilan wanita meminta perwakilan yang lain supaya tidak terlalu memuji Samy Vellu dan pemimpin yang lain kerana semua puji-pujian hanya untuk Tuhan.
"Anggota MIC perlu mengikis sikap ini...ia tabiat yang tidak baik," katanya.
Seorang perwakilan dari Lembah Klang pula meminta kerajaan menyediakan bantuan kewangan kepada masyarakat India membeli unit amanah saham yang ditawarkan kerajaan.
Beberapa perwakilan juga mengingatkan pasukan yang baru menang dalam pemilihan parti semalam supaya turun padang bagi mengukuhkan parti di semua peringkat dan menghormati anggota di peringkat akar umbi dalam usaha mendapatkan semula sokongan daripada masyarakat India.
Pengerusi Tetap Tan Sri G.Vadiveloo juga menghadapi hari-hari yang agak teruk kerana terpaksa terus mengingatkan para perwakilan untuk menumpukan perhatian terhadap perbahasan dan tidak membaca akhbar di dalam dewan itu.
Seorang perwakilan dari Pahang yang menyokong konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata mana-mana pemimpin Malaysia pada masa depan perlu meneruskan usaha menggalakkan konsep itu kerana ia boleh memastikan BN terus memerintah negara ini pada masa depan.
Seorang perwakilan wanita dari Shah Alam kecewa bahawa walaupun menghadiri empat konvensyen MIC, beliau mendapati para perwakilan mengajukan soalan dan membangkitkan isu yang sama dan meminta mereka mengubah pemikiran mereka dan juga menghormati Samy Vellu yang disifatkannya sebagai "bapa" bagi setiap orang dalam MIC. BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment