KUALA LUMPUR: Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), S. Murugesan hari ini dilantik sebagai Setiausaha Agung MIC yang baru susulan proses pemilihan parti semalam.
Murugesan, 42, yang juga seorang peguam dilantik menyandang jawatan berkenaan bagi menggantikan Datuk Dr. S. Subramaniam yang semalam dipilih sebagai Naib Presiden parti.
Bekas Ketua Pemuda MIC Shah Alam itu pernah bertanding di bahagian Parlimen Subang pada 8 Mac 2008 tetapi tewas.
Ia diumumkan oleh Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung MIC Ke-63 petang tadi.
Samy Vellu turut mengumumkan Setiausaha Biro Ekonomi MIC, Datuk Jaspal Singh, 46, sebagai Bendahari Agung.
Jaspal, anggota CWC kali pertama selepas dipilih semalam, menggantikan Datuk S.K. Devamany yang memenangi jawatan Naib Presiden.
Dalam pada itu, Penyelaras Putera, P. Kamalanathan, 42, pula dilantik sebagai Ketua Penerangan menggantikan Datuk M. Saravanan yang turut memenangi jawatan Naib Presiden.
Pengganti Kamalanathan tidak diumumkan hari ini.
Dalam perkembangan lain, Samy Vellu turut mengumumkan Timbalan Presiden Datuk G. Palanivel akan mengetuai jentera MIC bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan.
"Tugas penting kita sekarang ialah untuk membantu Barisan Nasional memenangi pilihan raya kecil Bagan Pinang.
"Tugas pertama Datuk Palanivel ialah untuk mengetuai jentera pilihan raya MIC.
"Saya bersama Datuk Palanivel akan merancang strategi pilihan raya yang mampu memenangi hati dan minda pengundi-pengundi India," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment