SHAH ALAM, 8,Sep-Seorang saksi baru yang dirahsiakan identitinya akan dipanggil esok untuk memberi keterangan berhubung laporan penderaan fizikal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibuat.
Saksi tersebut mendakwa telah didera SPRM dengan menampar, menyepak dan memukulnya lalu telah membuat laporan polis tahun lalu terhadap beberapa pegawai SPRM tersebut.
Koroner Azmil Muntapha Abas memutuskan laporan polis yang dibuat pada 11 September tahun lalu oleh pengadu tersebut adalah relevan bagi membantu mahkamah menentukan punca kematian Teoh.
Peguam wakil keluarga Teoh, Gobind Singh Deo memberitahu mahkamah beliau akan memanggil pengadu sebagai saksi bagi membuktikan dakwaan bahawa pegawai SPRM menggunakan kekerasan ketika menyoal siasat.
Beliau turut menegaskan kepada mahkamah bahawa terdapat percanggahan dalam keterangan saksi SPRM, pegawai penguasa Mohd Ashraf Mohd Yunus sebelum ini.
Teoh, 30, bekas setiausaha politik kepada Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah itu telah ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, selepas disoal SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu berhubung siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor.
Azmil berkata beliau berpendapat fakta-fakta yang dinyatakan dalam laporan polis itu sangat relevan kepada inkues itu namun skop yang akan difokuskan adalah terhad bagi menentukan sama ada terdapat soal siasat yang telah dijalankan, sama ada saksi ke-19 ini Mohd Ashraf terlibat dalam soal siasat tersebut dan sama ada kekerasan fizikal telah digunakan.
Peguam bagi SPRM Datuk Abdul Razak Musa bagaimanapun tetap dengan pendiriannya bahawa laporan polis itu adalah tidak relevan dengan prosiding inkues itu atas tiga sebab.
Pertama, laporan itu dibuat tahun lalu dan kira-kira 10 bulan sebelum kematian Teoh dan keduanya nama Mohd Ashraf langsung tidak disebut dalam laporan ini.
Abdul Razak, yang menerima salinan laporan itu daripada Gobind pagi ini, mencadangkan Mohd Ashraf tidak ditanya mengenai isi kandungan laporan itu kerana ia tidak berkaitan dan laporan itu juga tidak disahkan kebenarannya.
Razak berkata prosiding inkues ini bukanlah sebuah perbicaraan, dan tiada peruntukkan untuk menyoal balas saksi. Tuan koroner hanya perlu meneliti semua keterangan yang dikemukakan dan putuskan sama ada hendak percaya atau tidak keterangan saksi-saksi.
Gobind dalam hujahan balasnya menegaskan laporan polis itu, yang didedahkan kepada mahkamah 28 Ogos lalu, adalah penting bagi membuktikan keterangan empat pegawai SPRM sebelum ini hanyalah merupakan suatu penafian dan tidak boleh dipercayai.
Gobind berkata:”Kenapa perlu takut? Kalau tidak buat, cakap tidak buat, ini menunjukkan SPRM ada sesuatu yang hendak disembunyikan, sedangkan kami bersedia untuk memanggil saksi kami bagi membuktikan kebenaran laporan itu,” kata Gobind.
Mohd Ashraf, dalam keterangannya pada 28 Ogos lalu, memberitahu beliau tidak pernah menggunakan sebarang bentuk kekerasan terhadap Teoh mahupun saksi-saksi lain ketika menyoal siasat, dan tidak mengetahui sama ada pegawai-pegawai lain juga ada berbuat demikian.
Dalam keterangannya hari ini, beliau mengesahkan tidak pernah disoal siasat oleh polis berhubung dakwaan mendera saksi dan tidak pernah disaman kerana kesalahan mencederakan orang.
Selain itu juga, Mohd Ashraf memberitahu mahkamah hari ini, Teoh kelihatan gelisah apabila ditunjukkan empat dokumen yang dicetak dari komputer ribanya dan berulang kali membelek dokumen berkenaan tuntutan pembayaran yang telah ditandatanganinya bagi pihak Ean itu.
Perbicaraan masuk hari ke-18 itu bersambung esok KEMALIA OTHMAN TVSELANGOR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment