Pages

Wednesday, August 12, 2009

Pesta Anak Muda

SHAH ALAM, 12 Ogos - Bersempena dengan Hari Belia Sedunia pada 12 Ogos, Kerajaan Negeri Selangor akan menganjurkan Pesta Anak Muda (Festival of Youth’09) pada hujung minggu ini bagi menyediakan ruang kepada anak muda untuk berinteraksi, berkongsi karya seni atau produk kreativiti, serta bertukar fikiran berhubung isu sosial dan negara.

Program yang bakal diadakan di Dataran Petaling Jaya(Padang Timur), pada 14-16 Ogos itu bertujuan untuk menggalakkan kreativiti dan kepimpinan di kalangan anak muda Selangor agar golongan muda ini dapat membawa masyarakat ke arah progresif. Orang awam khasnya anak muda dialu-alukan hadir.

Program kemuncak temasya tiga hari itu adalah “Persidangan Belia untuk Belia: Membina Masa Depan Malaysia Baru” pada 16 Ogos, 8:30 pagi di Sunway Universiti, Bandar Sunway, Petaling Jaya di mana pemimpin-pemimpin belia akan meninjau kembali dasar negara berhubung golongan muda dan peranan mereka dalam mencorakkan masa depan Malaysia.

Selain program seminar, acara lain yang menarik turut akan diadakan di Dataran Petaling Jaya mulai 10.00 pagi hingga 11.00 malam pada tiga hari berturut-turut.

Antaranya pertunjukan Grafiti ‘sustainabality’ oleh Grup Media Touch Projek, pameran karya seni Kolej Taylors, Konsert RnR Sinar FM yang bakal mempersembahkan barisan artis-artis terkenal tempatan seperti Bunkface, Yassin, One Buck Short, Beeha, Gitarista 4 dan Pocket.

Program anjuran Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Dato’ Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu juga akan menyediakan kaunter pendaftaran pengundi sepanjang program berlangsung bagi anak-anak muda umur 21 tahun ke atas untuk mendaftar sebagai pengundi.

Tan Sri Khalid Ibrahim akan merasmikan program tersebut pada 15 Ogos, 8.00 malam diikuti dengan persembahan-persembahan menarik untuk tontonan para hadirin.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web: http://gen-s.com.my/sekretariat/.

No comments:

Posting Terkini