Pages

Wednesday, August 26, 2009

Koroner Los Angeles anggap kematian MJ sebagai homisid

LOS ANGELES: Punca kematian Michael Jackson diklasifikasikan sebagai kes homisid akibat daripada kesan campuran ubat-ubatan bertujuan untuk merawat insomnia (penyakit atau masalah kesukaran untuk tidur buat masa yang panjang), kata seorang pegawai pelaksana undang-undang kepada agensi berita The Associated Press (AP) semalam.

Doktor peribadi 'Raja Pop' itu pula memberitahu para penyiasat bahawa beliau sebenarnya cuba menghentikan penyanyi itu daripada bahan anestetik kuat yang mungkin menyebabkan kematiannya itu.

Ujian forensik mendapati bahan anestetik propofol yang dicampurkan dengan sekurang-kurangnya dua ubat sedatif lain telah menyebabkan kematian Michael, menurut pegawai itu, atas syarat namanya tidak didedahkan, kerana dapatan ujian itu belum diumumkan secara rasmi.

Berdasarkan dapatan ujian-ujian itu, pihak koroner Los Angeles County memutuskan kematian penyanyi itu sebagai satu homisid, kata pegawai tersebut.

Keputusan koroner mengenai kematian itu tidak bermakna satu jenayah telah berlaku, tetapi ia memberi kemungkinan bahawa dakwaan akan difailkan terhadap Dr Conrad Murray, seorang pakar kardiologi Las Vegas yang merawat penyanyi itu semasa beliau meninggal dunia 25 Jun lalu. -- AP.

No comments:

Posting Terkini