Kembar Siam meninggal
PEKANBARU (Riau): Bayi kembar Siam yang dilahirkan dengan satu tubuh dan dua kepala di sini lima hari lalu telah meninggal dunia, menurut laporan semalam.
Dr Tubagus Odhi berkata kembar itu meninggal dunia semalam di Hospital Arifin Achmad di sini selang beberapa minit antara satu sama lain. -- AP.
Megawati cabar kejayaan SBY
JAKARTA: Pemimpin pembangkang, Cik Megawati Sukarnoputri, semalam mencabar di Mahkamah Perlembagaan kemenangan Dr Susilo Bambang Yudhoyono dalam pilihan raya presiden Indonesia pada 8 Julai lalu.
Penasihat guaman beliau, Encik Arteria Dahlan, berkata pihaknya mahu pilihan raya presiden pusingan kedua diadakan dan jika tidak, undi dikira semula di seluruh Indonesia.
Beliau juga mendakwa pihaknya ada bukti terdapat masalah di 25 wilayah dan mahu pilihan raya diadakan semula di wilayah itu. -- AFP.
Bayi dan budak di tong sampah
DAYTON (Ohio): Seorang bayi lelaki lapan bulan dan budak perempuan dua tahun dijumpai dalam sebuah tong sampah, 13 jam selepas dilaporkan hilang oleh ibu mereka Ahad lalu, kata polis.
Wanita itu melaporkan anaknya dilarikan teman lelakinya selepas mereka bergaduh. Kanak-kanak itu dijumpai pekerja yang mendengar tangisan dari dalam tong sampah. -- AP.
Akui anggotai komplot bom
MELBOURNE: Seorang mualaf rakyat Australia semalam mengaku menjadi anggota komplot hendak mengebom satu acara sukan sejurus sebelum perbicaraan.
Shane Kent, 33 tahun, mengaku bersalah menyertai kumpulan yang diketuai ulama radikal, Abdul Nacer Benbrika.
Dia mengaku terlibat dalam komplot hendak melancar serangan bom termasuk di pertandingan akhir liga bola sepak Australia 2005.
Hukuman akan dijatuhkan bulan depan. -- AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment