Pages

Saturday, July 25, 2009

Kiraan terakhir sahkan Yudhoyono kekal presiden

JAKARTA: Pengiraan terakhir oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) mengesahkan Dr Susilo Bambang Yudhoyono kekal sebagai Presiden Indonesia.

Keputusan pilihan raya presiden yang diumumkan semalam melalui laman web suruhanjaya itu menunjukkan Dr Yudhoyono memperoleh 60.8 peratus undi, dua kali ganda berbanding saingan terdekatnya.

Keputusan akhir yang dikeluarkan itu adalah sama dengan pengiraan segera awal bulan ini.

Dr Yudhoyono akan mengangkat sumpah pada 20 Oktober ini dan akan berkhidmat selama lima tahun lagi sehingga 2014.

Mantan Presiden, Cik Megawati Sukarnoputri, menduduki tempat kedua dengan memperoleh 26.7 peratus undi, diikuti oleh Naib Presiden, Encik Jusuf Kalla, yang mengetuai parti Golkar, dengan 12.4 peratus undi.

Sebanyak 121 juta undi dikira berdasarkan pilihan raya presiden yang diadakan pada 8 Julai lalu.

Namun, calon yang kalah membantah keputusan rasmi itu.

Kenyataan KPU turut menyebut pemerhati dari kem Encik Kalla meninggalkan bilik penjumlahan selepas tengah hari kelmarin sambil mengadu senarai pemilih yang tidak sempurna akan menjejaskan keputusan.

Mereka kemudian menghantar nota kepada ketua KPU menggesa penjumlahan undi dihentikan.

Wakil Cik Megawati pula enggan memasuki bilik pengiraan untuk menyaksikan keputusan ketika ia dijumlahkan.

Akhbar The Jakarta Globe melaporkan Dr Yudhoyono memenangi 28 daripada 33 wilayah manakala Encik Kalla memenangi empat dan Cik Megawati satu.

Pentadbiran Dr Yudhoyono bagaimanapun berdepan dengan krisis rasuah apabila Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) menyoal siasat Menteri Dalam Negeri, Encik Mardiyanto, semalam.

Encik Mardiyanto disoal siasat berhubung kes rasuah pembekalan kereta bomba bagi pentadbiran wilayah beberapa tahun lalu.

Jurucakap KPK, Encik Johan Budi, berkata Encik Mardiyanto akan disoal siasat dalam kapasitinya semasa menjadi gabenor Jawa Tengah dulu.

'Kumpulan penyiasat KPK akan menyoalnya sebagai saksi kes rasuah dan cuba mendapatkan maklumat bagi melengkapkan fail kes Encik Oentarto Sindung Mawardi, bekas pengarah besar autonomi wilayah di Kementerian Dalam Negeri yang dinamakan sebagai suspek kes tersebut,' katanya.

Menurutnya, KPK turut akan menyiasat Encik Hadi Purnomo, atas kapasitinya sebagai setiausaha wilayah Jawa Tengah dan Encik Warsono, ketua pejabat kebajikan rakyat Jawa Tengah.

Encik Oentarto telah dinamakan sebagai suspek dalam kes rasuah pembekalan kereta bomba di beberapa wilayah di negara itu.

Menurut Encik Oentarto, mantan Menteri Dalam Negeri, Encik Hari Sabarno, turut terlibat. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini