Pages

Wednesday, March 18, 2009

YUDHOYONO MINTA M'SIA BANTU PEKERJA INDON YANG DIBUANG KERJA

JAKARTA: Presiden Indonesia, Dr Susilo Bambang Yudhoyono, semalam menggesa Malaysia membantu mencari huraian bagi nasib ribuan pendatang Indonesia yang dijangka kehilangan pekerjaan disebabkan krisis ekonomi dunia.

Ada ramai pekerja Indonesia di sana. Jika terdapat sebarang masalah, kita harus mencari huraiannya bersama-sama,' katanya kepada pemberita selepas bertemu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata bahawa dua negara itu harus bekerjasama bagi menghalang ekonomi mereka teruk terjejas oleh krisis sekarang, dan berusaha melindungi hak rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia.

Indonesia menjangka 100,000 daripada dua juta pendatang Indonesia yang bekerja di Malaysia akan diberhentikan kerja dan dihantar pulang menjelang akhir tahun ini.

Pemerintah Indonesia berkata pada Februari lalu bahawa 10,000 pekerja rakyat Indonesia di negeri Johor saja sudah dihantar pulang sejak Januari lalu.

Datuk Seri Abdullah berkata pemberhentian kerja 'tidak dapat dielak' dan beliau menggesa Indonesia supaya 'tidak membesar-besarkan' masalah itu.

'Apa yang berlaku hari ini menjejas semua negara di dunia. Jika berlaku pemberhentian pekerja, ia menjejas juga ekspatriat dan rakyat Malaysia,' kata beliau.

Malaysia telah mengurangkan kelulusan permit kerja kepada rakyat asing sebanyak hampir 70 peratus tahun ini kerana bimbang kemelesetan ekonomi menyebabkan lebih ramai warganya kehilangan pekerjaan.

Umpamanya, ia, yang mengalami kelembapanan pada sektor perkilangan tahun ini, telah membatalkan permit kerja yang dikeluarkan kepada 55,000 pekerja rakyat Bangladesh menyusuli tuntutan daripada kesatuan sekerja setempat. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini