Pages

Tuesday, March 17, 2009

Pembangunan Semula Tiga Bandar Babitkan RM10b

Kerajaan Selangor akan menggunakan peruntukan RM10 bilion daripada pakej rangsangan ekonomi Selangor untuk membangunkan semula tiga bandar di negeri ini bermula tahun 2009.

Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pembangunan semula tiga bandar dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun itu melibatkan bandar Klang, Petaling Jaya dan Kajang.

Katanya, usaha itu bagi merangsang semula pertumbuhan ekonomi negeri ekoran keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini.

“Kerajaan negeri akan menumpukan kepada usaha pembangunan semula di tiga bandar ini selain melakukan pemulihan serta pembersihan Sungai Klang yang melibatkan pembangunan kawasan perumahan di sepanjang sungai dan tanah rezab.

“Seperti di Klang, kita dapati pembangunanya sudah tidak sesuai dengan zaman sekarang, oleh sebab itu kita mahu tambah dan reka bentuk bandar ini dengan satu perbandaran baru,” katanya.

Menurutnya, sempena pembangunan semula bandar itu kerajaan negeri juga akan mengadakan satu seminar berkaitan itu April depan.

“Kita akan jemput pakar-pakar bandar terutama pakar-pakar muda yang berkelulusan perancangan bandar dan wilayah supaya datang untuk menerangkan bagaimana mereka boleh menterjemahkan konsep pembangunan Klang ini untuk diperbaiki,” katanya selepas merasmikan program seminar Merakyatkan Ekonomi Selangor (Mes) kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Seri Andalas dan Parlimen Kota Raja di sini, pagi tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr A Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud.

Mengulas mengenai seminar yang diadakan, Abdul Khalid berkata ia merupakan salah satu usaha kerajaan negeri untuk mendekati rakyat melalui program-program yang dijalankan.

“Dari masa ke semasa kita akan adakan seminar seperti ini bagi menerangkan kepada rakyat bagaimana usaha-usaha kita menghadapi masalah ekonomi selain memberitahu rakyat bagaimana kita menyampaikan usaha-usaha kebajikan ini kepada mereka,” katanya. – MURIZA ABDUL HAMID

No comments:

Posting Terkini