Kursus sebelum berpoligami
JAKARTA: Indonesia merancang mengarahkan semua pasangan Islam yang ingin mengamalkan poligami menyertai kursus rumah tangga sebelum bernikah lagi.
Pegawai ehwal agama, Encik Nasaruddin Umar, berkata pemerintah prihatin akan kadar perceraian yang meningkat, terutama di kalangan wanita yang meninggalkan suami yang ingin berpoligami.
Pada 2007, terdapat 937 perceraian ekoran suami ingin poligami, berbanding 813 kes pada 2004. -- AFP.
Syarat Suu Kyi temui PBB
YANGON: Pemimpin parti pembangkang Myanmar, Cik Aung San Suu Kyi, semalam bertemu utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Ibrahim Gambari.
Dalam pertemuan itu, Cik Suu Kyi berkata Setiausaha Agung PBB, Encik Ban Ki-moon, patut melawat Myanmar hanya jika beliau dan tahanan politik lain dibebaskan.
Cik Suu Kyi menjelaskan beliau tidak bersedia mengadakan rundingan dengan pegawai PBB, kecuali ada hasil jelas. -- AFP.
Tanaman candu bertambah
BANGKOK: Penanaman candu di Myanmar meningkat tahun lalu, dua tahun berturut-turut, lapor agensi antidadah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.
Menurutnya, kawasan penanaman candu meningkat daripada 27,700 hektar pada 2007 kepada 28,500 hektar tahun lalu.
Myanmar kekal penghasil candu kedua tertinggi di dunia. -- AFP.
Salji paling tebal landa London
LONDON: London dan daerah tenggara England dilanda salji paling tebal dalam tempoh 18 tahun.
Semua perkhidmatan bas di London digantung ekoran keadaan jalan raya tidak selamat.
Beberapa penerbangan ke dan dari London ditunda atau dibatal. -- Agensi.
Tidak boleh campur selebriti
WASHINGTON: Wanita Pertama Amerika Syarikat, Cik Michelle Obama, melarang anak perempuannya, Malia dan Sasha, bergaul dengan golongan selebriti bagi mengekalkan kehidupan normal di Rumah Putih.
Kali terakhir mereka bergaul dengan bintang Hollywood adalah pada malam bapa mereka, Presiden Barack Obama, mengangkat sumpah. -- Agensi.
Mayat dalam longkang
MELAKA: Mayat seorang lelaki dengan kesan tikaman dan kelar di badan ditemui dalam longkang di kawasan perindustrian Bukit Rambai dekat sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Wan Ahmad Wan Abas, berkata mayat lelaki yang dipercayai rakyat asing berusia dalam lingkungan 30-an tahun itu ditemui orang awam pada 6.45 pagi.
'Identiti mangsa belum dikenal pasti, tapi polis menemui beberapa bahan yang boleh dijadikan bukti serta tompokan darah dipercayai milik penjenayah yang terlibat,' katanya kepada pemberita di tempat kejadian itu. -- Bernama.
Pelumba haram ditahan
BUTTERWORTH (Pulau Pinang): Polis menahan sembilan lelaki yang terlibat dalam kegiatan lumba haram pada waktu senja di Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR), di sini malam kelmarin.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam/Ketua Trafik Pulau Pinang, Superintenden Wan Aziz Wan Husin, berkata kesemua lelaki yang berumur antara 18 dan 28 tahun itu ditahan dalam operasi pencegahan lumba haram selama dua jam di sekitar lebuh raya itu.
'Mereka melakukan lumba haram pada waktu senja iaitu ketika masuk waktu maghrib. Polis mengadakan intipan selama beberapa minggu dan malam tadi kami menahan sembilan lelaki itu ketika mereka sedang beraksi,' katanya kepada pemberita di sini malam kelmarin. -- Bernama.
MT Umno tidak puas hati
KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) Umno tidak berpuas hati dengan cara pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyoal siasat seorang ahlinya untuk kes rasuah politik, baru-baru ini.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata perkara itu dibincangkan pada mesyuarat MT Umno, Khamis lalu, berikutan laporan polis yang dibuat ahli Umno terbabit, Encik Halimi Kamaruzzaman.
'Kita bukan benci atau menolak SPRM, tetapi kita bincang cara SPRM soal siasat ahli Umno itu,' katanya kelmarin. -- BHM.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment