Pages

Monday, February 23, 2009

Sekilas Berita Dunia

Wanita Viet mati akibat flu burung

QUANG NGAI (Vietnam): Seorang wanita berusia 23 tahun mati akibat virus flu burung H5N1 di Vietnam, menurut laporan semalam.

Pesakit meninggal dunia Sabtu lalu di sebuah hospital di wilayah Quang Ninh, 150 kilometer ke timur ibu kota Hanoi, akibat virus H5N1, kata pengarah hospital, Encik Nguyen Hong Hanh.

Kematian wanita itu menjadikan kesemuanya 53 orang yang mati akibat flu burung di Vietnam sejak 2003. -- AFP.

Gesa AS utamakan rundingan

DAMSYIK: Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad, memberitahu anggota Kongres Amerika Syarikat yang melawat negara itu kelmarin, termasuk Senator John Kerry, bahawa Amerika patut 'beralih daripada dasar yang memaksakan keputusan' kepada yang mementingkan rundingan.

Encik Kerry pula menggesa Syria supaya 'menghormati kemerdekaan Lebanon, dan membantu melucutkan senjata kumpulan Hezbollah'. -- AFP.

Perintah berkurung di daerah Nigeria


KANO (Nigeria): Pihak berkuasa wilayah Bauchi, utara Nigeria, mengerah askar bagi menguatkuasa perintah berkurung menyusuli rusuhan antara penduduk Islam dan Kristian, yang sejauh ini mengorbankan lima orang.

Gabenor Isa Yuguda mengumumkan perintah berkurung dari senja ke subuh sejak kelmarin di tujuh daerah yang dilanda rusuhan, kata jurucakap beliau, Encik Maigari Mohammed Kanna. -- AFP.

74 maut dalam letupan lombong

BEIJING: Satu letupan lombong arang batu mengorbankan 74 pelombong di wilayah Shanxi, utara China semalam, lapor agensi berita Xinhua.

Kemalangan berlaku sekitar 2.17 pagi ketika 436 pekerja berada di terowong Lombong Tunlan di bandar Gujiao.

Sebahagian besar pekerja selamat, tetapi sekitar 114 orang dimasukkan ke hospital, enam daripada mereka dalam keadaan kritikal. -- Reuters.

No comments:

Posting Terkini