WASHINGTON: Para pengganas berkemungkinan besar merancang serangan nuklear atau biologi ke atas Amerika Syarikat pada tahun-tahun mendatang, demikian amaran mantan naib presidennya, Encik Dick Cheney.
Dalam satu wawancara beliau dengan akhbar The Politico yang dikeluarkan semalam, Encik Cheney berkata beliau bimbang dasar-dasar yang disokong Presiden Barack Obama akan memudahkan lagi serangan seperti itu menjadi kenyataan.
'Saya fikir ada kemungkinan besar bagi percubaan seperti itu,' kata Encik Cheney, yang memberikan pandangannya itu selang dua minggu selepas Encik Obama mengambil alih jawatan presiden Amerika.
'Sama ada mereka dapat melaksanakannya akan bergantung pada sama ada kita dapat mengekalkan dasar-dasar yang telah membolehkan kita mengalahkan semua percubaan lanjut sejak 9/11 untuk melancarkan serangan besar-besaran terhadap Amerika,' katanya lagi.
Beliau turut menyenaraikan beberapa dasar pentadbiran Encik George W. Bush yang menurutnya telah melindungi Amerika daripada serangan.
'Jika bukan kerana apa yang kami lakukan berhubung program pengawasan pengganas atau teknik-teknik soal siasat yang dipertingkatkan terhadap para tahanan bernilai tinggi, Akta Patriot dan sebagainya, maka kita mungkin diserang sekali lagi,' tegas Encik Cheney.
'Dasar-dasar yang kami bentuk itu, pada pandangan saya, amat penting untuk melindungi kita sejak lebih tujuh tahun lalu tanpa sebarang serangan yang mengakibatkan korban besar bagi Amerika,' tambahnya.
Encik Cheney juga mempertahankan cara penanganan penjara tentera Amerika di Guantanamo Bay, Cuba, dan teknik soal siasat keras terhadap suspek-suspek pengganasan di bawah pentadbiran Encik Bush.
Beliau berkata Encik Obama telah meletakkan negara itu dalam keadaan berisiko jika beliau membelakangi dasar-dasar keselamatan pentadbiran Encik Bush.
'Apabila kita mendapatkan orang yang lebih bimbang terhadap membacakan hak kepada seorang pengganas Al-Qaeda dan bukan mereka yang melindungi Amerika daripada orang-orang yang amat komited berbuat apa sahaja untuk membunuh rakyat Amerika, maka saya akan bimbang.'
Melindungi keselamatan negara adalah satu hal yang 'sukar, kejam, kotor dan jahat', kata beliau.
'Mereka adalah orang-orang jahat. Dan kita tidak akan memenangi pertempuran ini dengan menyerahkan pipi yang sebelah pula.' - Reuters.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment