Pages

Thursday, January 22, 2009

PUTERA MAHKOTA BRUNEI PANDU KERETA KEBAL

PUTERA Mahkota Brunei Darussalam, Putera Haji Al-Muhtadee Billah, dibawa menyaksikan keupayaan kereta kebal terbaru Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Leopard 2A4, dengan lebih dekat sewaktu berkunjung ke Institut Latihan Perisai di Kem Sungei Gedong, semalam.

Di sana, beliau berkesempatan memandu sendiri kereta kebal itu di samping menyaksikan kenderaan berperisai lain dalam simpanan SAF.

Lawatan itu merupakan sebahagian atur cara lawatan rasmi Putera Al-Muhtadee selama empat hari ke Singapura bermula Isnin lalu. Beliau pulang semalam.

Pewaris takhta kerajaan Brunei itu turut mengunjungi Pangkalan Udara Paya Lebar. Di sana beliau melihat pesawat-pesawat seperti jet pejuang F-16 dan helikopter penggempur Apache dan Chinook.

Beliau mengalami sendiri suasana memandu pesawat F-16 dengan mencuba simulasi latihan jet tersebut.

Lawatan itu disusuli dengan satu pertemuan dengan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, di Istana.

Kelmarin, Putera Al-Muhtadee ditauliahkan dengan anugerah ketenteraan tertinggi Singapura, Darjah Utama Bakti Cemerlang (Tentera), oleh Presiden S R Nathan, di Istana.

Anugerah tersebut sebagai mengiktiraf peranan penting Putera Al-Muhtadee dalam mengukuhkan hubungan ketenteraan yang baik antara Brunei dengan Singapura.

Di bawah pimpinan beliau, jalinan hubungan antara pasukan pertahanan kedua-dua negara telah dipererat dengan pengenalan beberapa inisiatif profesional seperti Program Pertukaran Sarjana Pertahanan Singapura-Brunei.

Latihan bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan SAF juga telah bertambah dari segi skop dan kerumitannya.



No comments:

Posting Terkini