Pages

Wednesday, January 21, 2009

Prasyarat Untuk Pertumbuhan Ekonomi

KUALA LUMPUR, 21 Jan-- Pemulihan kestabilan ekonomi global, yang tercetus akibat krisis kewangan semasa, sangat penting kerana ia adalah prasyarat utama untuk pertumbuhan dan pembasmian kemiskinan, kata Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Rabu.

Oleh itu, masyarakat kewangan antarabangsa kini perlu berusaha mencari penyelesaian yang dapat menstabilkan industri dalam jangka pendek dan menghalang berulangnya krisis seperti itu pada masa depan, katanya.

"Krisis itu bukan sahaja memberi impak ke atas ekonomi utama, yang merupakan punca masalah, malah ke atas ekonomi membangun dan baru muncul.

"Pelbagai kumpulan masyarakat antarabangsa kini membuat penilaian aturan ekonomi yang mungkin perlu dirombak.

"Turut diberi perhatian ialah bagaimana dan apa bentuk aturan institusi atau instrumen yang perlu disediakan, berikutan perubahan utama yang berlaku dalam ekonomi global," katanya.

Dalam hubungan ini, Bank Pembangunan Islam (IDB) pada Oktober lepas menganjurkan forum mengenai krisis kewangan global dan impak ke atas industri perkhidmatan kewangan Islam, katanya dalam ucapan aluan pada mesyuarat pertama Pasukan Petugas bagi Kewangan Islam dan Kestabilan Kewangan Global.

Pasukan pertugas itu ditubuhkan pada forum tahun lepas.

"Pasukan petugas yang membabitkan kumpulan pakar daripada pelbagai latar belakang, akan meneliti impak krisis kewangan global semasa ke atas kewangan Islam dan potensi untuknya membentuk pengantara kewangan yang boleh menyumbang ke arah kestabilan kewangan global," kata Zeti yang mempengerusikan pasukan petugas terbabit.

Turut hadir ialah presiden kumpulan IDB, Dr Ahmad Mohamed Ali.

Antara lain, Zeti berkata pasukan petugas itu akan menyediakan kertas kerja bagi membantu menangani impak krisis kewangan.

"Ia juga akan meneroka dan mengenal pasti keadaan dan implikasi bagi mengurangkan prospek berlaku krisis itu pada masa depan," katanya.

Zeti bagaimanapun berkata isu struktur mungkin mengambil masa yang lebih panjang untuk dilaksanakan.

Satu kenyataan yang dikeluarkan sempena mesyuarat itu menyebut, pasukan petugas pada mesyuarat pertamanya, akan mewujudkan tiga pasukan bagi mengkaji sumbangan kewangan Islam kepada kerangka kewangan dunia, meneroka peluang-peluang yang berbangkit akibat krisis termasuk menggerakkan dan mengurus sumber, masa depan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam dan peranan kewangan inklusif.-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini