Pages

Wednesday, January 21, 2009

Hak Penan dalam undang-undang tetap terpelihara

KUCHING 21 Jan — Polis tidak pernah menafikan hak kaum Penan yang tinggal di pedalaman Sarawak untuk mendapatkan perlindungan daripada segi undang-undang secara adil, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Mohd Bakri Zinin.

Beliau berkata sebarang laporan dan kes yang disiasat oleh pihak polis dilakukan secara profesional tanpa mengira latar belakang sesuatu kaum dan mereka yang bersalah tidak boleh mengelak daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang dan hukuman.

Sebanyak lima kes membabitkan pencabulan hak asasi kaum Penan termasuk kes rogol telah berjaya diselesaikan sejak tahun 1994, katanya kepada pemberita selepas telah mempengerusikan mesyuarat dengan 27 Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sarawak di sini hari ini.

Mohd Bakri berkata lima kes itu merupakan antara 11 kes yang pernah dilaporkan kepada polis membabitkan kaum Penan yang tinggal di kawasan Hulu Baram dalam daerah Marudi. — Bernama

No comments:

Posting Terkini