Pages

Friday, November 21, 2008

Rafidah pertahan jawatan sahut cabaran Shahrizat

PETALING JAYA: Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz hari ini mengumumkan untuk mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Mac depan.

Kenyataan tersebut di buat selepas 24 jam , Naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan beliau akan bertanding mencabar ketuanya itu.

Dengan perkembangan terbaru ini, pelan peralihan kuasa melibatkan kedua-dua pemimpin tersebut juga musnah.

"Memandangkan bahawa Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat telah membuat kenyataan akhbar untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Umno maka saya dengan ini akan mempertahankan jawatan ketua yang saya sandang sekarang.

"Insya-Allah akan bertanding jawatan tersebut untuk tempoh 2009-2011," katanya dalam satu kenyataan setebal 10 muka surat bertulisan tangan.

Katanya beliau menghargai dan menghormati pepencalonan yang diterimanya daripada 117 bahagian Umno.

"Saya memulangkan kepada para perwakilan, yang mewakili akar umbi, untuk menentukan pemimpin yang mereka mahu untuk tempoh 2009-2011 itu," katanya.

Rafidah turut melahirkan kekecewaannya kerana pelan peralihan yang dipersetujui exco pergerakan itu ditolak dan dipertikaikan selepas tempoh tiga bulan beliau mengumumkannya iaitu pada 4 Ogos lalu.

Katanya semenjak tarikh itu tiada sesiapa dalam exco mahupun pihak luar mempertikaikan keputusannya itu.

"Bahkan Datuk Seri Shahrizat sendiri, sama ada antara empat mata, dalam exco, dan dalam sidang media, telah berkali-kali menegaskan bahawa beliau tidak akan bertanding jawatan ketua walaupun dicalonkan dan akan patuh pada pelan peralihan serta patuh kepada nasihat pemimpin-pemimpin besar parti.

"Bahkan beliau telah menyatakan bahawa 'kata akan dikota' dan 'my word is my honour' (semuanya telah disiar dalam media)," katanya.

Tambah Rafidah lagi beliau tidak mempunyai sebab untuk menyangka bahawa akan berlaku pelbagai pergolakan selepas proses pencalonan selesai.

Menurutnya jika ada mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pelan peralihan tersebut, maka sebagai pemimpin yang bertanggungjawab perkara tersebut wajar dibangkitkan dan dibantah dalam mana-mana perbincangan sebelum ini.

"Jika mereka berbuat demikian sebelum proses pencalonan, maka pasti exco akan membatalkan sahaja pelan itu.

"Dan saya tidak ragu-ragu kan membiarkan bahagian-bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahukan untuk jawatan ketua dan naib ketua," katanya.

Bagaimanapun katanya 'bantahan' terhadap pelan peralihan yang dipersetujui sebelum ini hanya ditimbulkan selepas mendapat pencalonan yang mencukupi bagi melayakkan diri untuk bertanding.

"Selepas mereka telah mendapat cukup pencalonan untuk bertanding, maka baru membantah dengan pelbagai alasan yang sebenarnya tidak berasas.

"Ada pula pihak-pihak yang mahukan pelan peralihan dipercepat dari Jun ke Mac 2009...ini tidak logik," katanya.

Terdahulu, Shahrizat, bekas anggota Kabinet dan bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai, melalui kenyataan dua perenggan mengesahkan beliau menerima pencalonan dan sokongan untuk bertanding jawatan itu.

"Wanita Umno mesti bersatu dalam mengukuhkan parti serta berani membawa perubahan dan pembaharuan," katanya dalam kenyataan tersebut semalam.

Keputusan beliau itu sekali gus melenyapkan pelan peralihan kuasa yang dirancang oleh Rafidah untuk menyerahkan kepimpinan pergerakan itu pada Shahrizat Jun depan.

Dengan keputusan itu juga bermakna Shahrizat akan memberi laluan kepada satu-satunya saingan beliau bagi jawatan Naib Ketua iaitu Datuk Kamilia Ibrahim untuk menang tanpa bertanding pada pemilihan akan datang.

Dalam pada itu, pengumuman Shahrizat untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Umno mendapat sokongan terbuka daripada beberapa ketua wanita bahagian.

No comments:

Posting Terkini