Pages

Wednesday, November 5, 2008

Obama Presiden baru, cipta sejarah

WASHINGTON: Sah! Dalam tempoh lima jam pertama selepas pengundian ditutup - Senator Barack Obama, yang memulakan cabaran dua tahun lalu dengan slogan "Change", memenangi pemilihan bersejarah Presiden Amerika Syarikat (AS).

Beliau mencipta sejarah sebagai pemimpin pertama daripada kalangan masyarakat kulit hitam untuk mengetuai White House.

AS pernah memiliki senator dan gabenor masyarakat kulit hitam tetapi ini kali pertama seorang menjadi presiden.

Setakat 12.45 tengah hari tadi Obama memperoleh 338 undi pemilih berbanding pencabarnya Senator John McCain yang mendapat 155 undi sehingga pukul 12 tengah hari (waktu Malaysia).

Obama hanya memerlukan 270 undi untuk menang jawatan Presiden.

Dengan kemenangan itu beliau akan mengangkat sumpah dan memasuki White House Januari depan.

McCain sebentar tadi mengaku kalah dalam pemilihan sambil mengucapkan tahniah kepada Obama yang berganding dengan Joe Biden sebagai calon Naib Presiden.

Kemenangan Obama mendapat reaksi positif daripada negara-negara besar dan maju termasuk China yang mengalu-alukan pemilihannya sebagai Presiden AS yang ke-44.

Dengan kemenangan di Florida, Ohio, Pennsylvania, Virginia dan beberapa negeri lain, Obama merekodkan prestasi yang 'menarik' untuk mengatasi McCain dengan mudah.

Obama, anak kepada pasangan warga Kenya dan ibunya dari Kansas, mendapat perhatian banyak pihak sejak tahun 2004. Pada tahun itu beliau bertanding kerusi Senat.

Selain laluan cerah bagi Obama, parti yang beliau wakili - Demokrat juga memperlihatkan prestasi baik dengan mampu menguasai majoriti di Dewan Perwakilan dan Dewan Senat - sekali gus mengawal Kongres buat kali pertama sejak 1994.

Bagi pilihan raya anggota Senat, parti Demokrat, yang Obama wakili, juga mencatatkan kejayaan memberangsangkan dengan memperoleh kerusi ketiga daripada penguasaan Republikan, menjadikan majoriti parti itu meningkat kepada 52 daripada 100 kerusi yang diperuntukkan.

Hanya beberapa kerusi dipertandingkan dalam pilihan raya Dewan Senat kali ini.

Di peringkat awal, bagi tempoh kurang sejam selepas pusat pengundian awal ditutup, McCain berada di depan lebih kelebihan lebih 10 undi pemilih.

Obama juga menang besar di Pennsylvania - salah satu daripada tiga negeri kritikal yang menjanjikan undi pemilih terbanyak.

Kemenangan mutlak di Pennsylvania meletakkan Obama di kedudukan kukuh untuk menuju ke White House.

Beliau juga dikatakan memperoleh sokongan besar etnik kulit hitam, kaum wanita dan masyarakat Hispanik.

McCain terus menerima sokongan penduduk kulit putih dan golongan warga kanan.



No comments:

Posting Terkini