Pages

Tuesday, November 4, 2008

Lans Koperal hadapi empat pertuduhan rasuah

KUANTAN: Seorang anggota polis hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat tuduhan meminta dan menerima rasuah daripada dua beradik membabitkan kes dadah pada Februari dan Jun lepas.

Tertuduh, Lans Koperal Azmi Din @Kamaruddin yang bertugas di cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini dituduh meminta rasuah sebanyak RM2,000 daripada Nur Azraie Faizal Ahmad sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan mengikut LangkahLangkah Pencegahan Khas ke atasnya dan Nur Azlan.

Azmi, 43, didakwa melakukan kesalahan tersebut di IPD Kuantan kira-kira pukul 1 tengah hari, 17 Feb lepas.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima wang suapan RM2,000 daripada Nur Azraie Faizal di taman Lembaga Kemajuan Negeri Pahang (LKNP) di sini pada pukul 4 petang hari yang sama sebagai dorongan tidak menangkapnya dan Nur Azlan.

Bagi pertuduhan ketiga, Azmi didakwa meminta rasuah RM500 daripada Nur Azlan di No 9, Lorong 72, Taman LKNP di sini, pada pukul 9.30 malam, 12 Jun lepas sebagai dorongan untuk memaklumkan kepadanya tentang sebarang operasi polis di kawasan berkenaan dan tidak akan menahan adik-beradik itu.

Bagi pertuduhan terakhir, Azmi didakwa menerima rasuah RM500 daripada Nur Azraie Faizal pada pukul 5,45 petang, 13 Jun lepas di pusat membelibelah Kuantan Parade.

Dia didakwa mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan Seksyen 11(a) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta itu yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda maksimum lima kali ganda daripada nilai suapan.

Hakim Jagjit a/l Bant Singh membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 November ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fadzillah Mohd Osman dari Badan Pencegah Rasuah (BPR) manakala tertuduh tidak diwakili peguam. BERNAMA

No comments:

Posting Terkini