SETIU, 7 Nov-- Penunggang Malaysia Datuk Kamaruddin Abdul Ghani berjaya melepasi loop atau peringkat pertama Kejohanan Kuda Lasak Dunia (FEI WEC) di Trek Kuda Lasak Antarabangsa Terengganu di Lembah Bidong, Setiu di sini hari ini.
Penuggang nombor dua dunia Pio Juan Miguel Olasoaga Amaya dari Uruguay terkeluar daripada pertandingan.
Kamaruddin, bekas penunggang nombor satu dunia pada 2001, menduduki tempat ke-51 daripada 127 penunggang.
Beliau yang menunggang kuda Navidad berjaya ke loop kedua sejauh 27km, termasuk 11 penunggang Malaysia yang lain.
Penunggang tersebut ialah Mohd Shuaib Ishak (tempat ke-53), Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin (57), Mohd Faizal Ismail (59), Rosdam Mohd Noor (61), Zainuddin Yusof (68), Abdul Hamid Alihan (69), Muhammad Che Ahmad Yusri (70), Datuk Abdullah Taib (80), Md. Azizie Ismail (88), Muhammad Firdaus Hamid (93) dan Norlialy Buniyamin (97).
Kedudukan tangga teratas diungguli oleh penungang dari Sepanyol, Maria Mercedez Alvarez Ponton, diekori penunggang Emiriah Arab Bersatu, Shaikh Hamdan Mohd Al Maktoum dan penunggang Qatar, Abdulla Towain Al Marri.
Namun Amaya, pilihan pertama menduduki tangga keempat selepas kudanya Ar Valve gagal pemeriksaan veterinar pada loop pertama.
Seramai 12 penunggang lain juga terkeluar daripada pertandingan, menjadikan hanya 113 penunggang yang akan mara ke loop kedua.
Kejohanan FEI WEC sejauh 160km diadakan sebanyak tujuh loop yang dijangka tamat kira-kira 8 pagi esok.
Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah melepaskan para peserta pada 5.30 petang.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment