PETALING JAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan angkasawan pertama negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dijadual mengadakan pertemuan hari ini untuk menyelesaikan isu berkaitan bayaran siri ceramah, yang didakwa mencecah RM8,000 sejam.
Ketika dihubungi, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut tetapi berkata:
"Saya hanya akan memberi kenyataan berhubung isu ini esok selepas pertemuan dengan dia (Sheikh Muszaphar)."
Ditanya sejauh mana kebenaran komen ayah angkasawan terbabit, Datuk Sheikh Mustapha Shukor yang mengatakan anaknya tidak diberi layanan yang baik oleh kerajaan dan kementerian terbabit, Fadillah berkata:
"Kita perlu berbincang dengan dia (Sheikh Muszaphar). Kita perlu dengar dari pihaknya, saya tak mahu ulas lanjut mengenainya. Kita tunggu esok."
Jelas beliau, kementeriannya perlu menjalankan siasatan dan mengkaji kesahihan maklumat dalam berita yang disiarkan dalam media.
"Kita tidak boleh mempercayai berita tersebut kecuali jika mereka punya bukti kukuh mengenai perkara ini," katanya.
Tambah beliau, sehingga kini pihak kementerian masih belum menerima apa-apa laporan mengenainya.
Kelmarin, Sheikh Muszapar menafikan dakwaan beliau mengenakan bayaran sehingga RM8,000 sejam untuk berceramah dan telah mengumpulkan RM1.2 juta hasil siri ceramah sejak setahun lalu.
Angkasawan pertama negara itu juga menafikan telah mengadakan ceramah membabitkan 150 korporat setakat ini.
Tegas Sheikh Muszaphar, dakwaan bahawa beliau menerima beribu-ribu ringgit bagi setiap ceramah adalah tidak benar.
Sementara itu, ayah angkasawan terbabit, Sheikh Mustapha turut menafikan perkara tersebut berkata anaknya itu tidak diberi layanan yang baik.
Jelas Mustapha, anaknya itu hanya menerima gaji RM5,000 sebulan dan sebuah kereta daripada kerjaan manakala perbelanjaan lain seperti pemandu peribadi dan pengawal peribadi dibayar oleh angkasawan negara itu dengan pembiayaannya sendiri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment