PUTRAJAYA, 12 Nov (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) mencadangkan kepada kerajaan supaya menerbitkan bon daulat bagi menggantikan terbitan terdahulu yang telahpun matang.
"Kami ada mencadangkan kepada kerajaan bahawa nama Malaysia harus ada dalam pasaran kewangan antarabangsa kerana sukuk dan bon-bon lain yang kita terbitkan telahpun matang," kata Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
"Kita telah membayar (bon-bon itu), malah kita tidak membuat pembiayaan semula, dan itulah sebabnya tahap hutang kita rendah," katanya pada Taklimat dan Perbincangan Panel bertajuk "Ke Arah Pertumbuhan Ekonomi Mampan bagi Mengatasi Kelembapan Ekonomi Global" di sini hari Rabu.
Beliau berkata kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk menerbitkan bon berkaitan inflasi meskipun inflasi telahpun memuncak dan menyederhana.
"Itu bukanlah sesuatu yang akan dipertimbang kerajaan. Buat masa ini kerajaan ada instrumen-instrumen dalam bentuk bon berstruktur konvensyenal dan juga Islam," katanya, sambil menambah bahawa instrumen-instrumen ini cekap dalam menggerakkan pembiayaan.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment