Pages

Wednesday, October 8, 2008

SAHAM ASIA MENJUNAM

Oleh
Suryani Omar

KEBIMBANGAN masalah krisis kewangan Amerika Syarikat akan merebak ke seluruh dunia, walaupun rancangan bantuan AS$700 bilion ($1.014 trilion) diluluskan Dewan Perwakilan Amerika, mencengkam pelabur Asia semalam sehingga menyebabkan harga saham di rantau ini menjunam.

Krisis kewangan yang bermula di Amerika Syarikat kini telah merebak ke Eropah, dengan pemerintah Jerman bersetuju menyelamatkan syarikat kewangan Hypo Real Estate manakala bank BNP Paribas berkata ia akan mengambil alih operasi institusi kewangan Fortis di Belgium dan Luxembourg, kelmarin.

Saham Asia mencatat kemerosotan teruk dengan saham Indonesia merosot paling banyak iaitu 10 peratus atau 183.77 mata kepada 1,648.74 mata.

Kemerosotan tersebut adalah yang paling buruk g pernah dialami pasaran saham Indonesia sejak krisis kewangan Asia pada 1998.

Di Singapura, Indeks Straits Times (STI) menjunam 5.61 peratus, atau 128.80 mata kepada 2,168.32, paras terendah sejak Jun 2005.

Hongkong turut mengalami nasib yang sama, menjunam 5 peratus manakala Jepun menjunam 4.7 peratus.

Di Thailand, harga saham hilang 6.48 peratus dan Malaysia susut 1.95 peratus.

'Pelabur bersikap pesimis, setiap berita yang diterima diamati daripada sudut yang negatif.

'Walaupun rancangan bantuan diluluskan Dewan Perwakilan Amerika, para pelabur Asia berpendapat bahawa ia bukanlah ubat bagi merawat semua 'penyakit' kerana ekonomi Amerika akan tetap terjejas,' kata pengurus besar Fundsupermart.com, Encik Wong Sui Jau, kepada Berita Harian.

Krisis yang bermula ekoran masalah subprima merebak kepada masalah kredit dan menyebabkan institusi kewangan seperti Lehman Brothers gulung tikar dan bank Freddie Mac dan Fannie Mae serta syarikat insurans American International Group (AIG) dibantu pemerintah Amerika, agar tidak senasib Lehman Brothers.

Pakar ekonomi Barclays Capital di Singapura, Encik Nicholas Bibby, memberitahu International Herald Tribune bahawa kejatuhan harga saham mencerminkan kekhuatiran pelabur bahawa masalah sektor perbankan akan merebak, walaupun beliau berpendapat bahawa bank di Asia dalam kedudukan lebih kukuh untuk menghadapi sekitaran yang tidak menentu ini.

Agensi penilaian Fitch semalam berkata bahawa profil kewangan bank di Singapura masih kukuh dan mereka terus dinilai tinggi.

Pasaran saham di rantau lain turut parah, dengan harga saham di London merosot lebih 6 peratus kepada paras terendah dalam empat tahun. Indeks Pasaran Baru MSCI, yang mengukur 23 negara sedang membangun, merosot 30 peratus tahun ini - prestasi paling parah sejak 1970.

Di Singapura, Menteri Kewangan, Encik Tharman Shanmugaratnam, memberi amaran bahawa kelemahan ekonomi setempat akan berlarutan sehingga tahun depan dan jumlah pembuangan kerja mungkin meningkat, menambahkan lagi kebimbangan setempat.

Harga minyak mentah juga merosot kepada kurang AS$90 setong, kali pertama ia turun ke paras tersebut sejak Februari lalu, lantas memberi tekanan bahawa ekonomi sejagat akan tumbuh lebih lemah dan mengurangkan permintaan bagi bahan pembakar.

cyberita

No comments:

Posting Terkini