SEREMBAN, 6 Okt (Bernama) -- Setiausaha Pergerakan Puteri Umno Bibi Sharliza Mohd Khalid hari ini menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan Ketua Puteri Umno pada pemilihan parti Disember ini.
Bibi Sharliza, 38, berkata dengan pengumuman ini beliau berharap untuk mendapat kepercayaan bagi menerajui kepimpinan pergerakan itu.
"Saya memohon agar saya diberi peluang untuk menerajui kepimpinan Puteri Umno Malaysia selaras dengan wawasan saya iaitu seorang Ketua Puteri mestilah tegas, komited dan menyatukan semua kepimpinan sama ada di peringkat pusat, negeri dan juga bahagian," katanya pada satu sidang akhbar di sini, Isnin.
Bekas anggota Dewan Undangan Negeri Paroi itu berkata sebagai seorang yang terlibat dalam penubuhan Puteri Umno, beliau berpeluang berkhidmat dalam pucuk pimpinan pergerakan itu.
"Sepanjang tempoh tujuh tahun dalam Puteri Umno saya dapat menjalinkan hubungan yang baik terutamanya dengan kepimpinan Umno dan Puteri Umno di peringkat pusat, negeri dan juga bahagian.
"Fokus utama saya adalah golongan muda iaitu dengan mengenali mereka dan melibatkan mereka dengan pelbagai aktiviti berfaedah berlandaskan semangat kepartian yang dapat memberi mereka kefahaman dan keyakinan untuk melibatkan diri sebagai anggota Umno demi agama, bangsa dan negara," katanya.
Bibi Sharliza berkata memandangkan beliau tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan, beliau yakin dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pergerakan itu.
Sebelum ini tiga orang menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan Ketua Puteri Umno iaitu Naib Ketua Puteri Rosnah Abdul Rashid, Ketua Penerangan Puteri Datuk Shahaniza Shamsuddin dan Exco Puteri Datin Ismalina Ismail.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment