Pages

Monday, September 21, 2015

Dua jemaah M'sia yang hilang, disahkan terkorban

Keluarga dua jemaah haji Malaysia yang pada mulanya dilapor hilang dan hari ini disahkan terkorban dalam tragedi kren runtuh di Masjidil Haram pada 11 September lalu bersyukur kerana jenazah kedua-dua rakan itu akhirnya ditemui.
Pengecaman jenazah Shahidan Saad, 52, dari Kodiang dan Abdul Habib Lahman, 68, dari Sik dilakukan para waris dan keluarga mereka di rumah mayat Muaissem di Mina.
Adik Shahidan iaitu Nazimah Saad, 48, berkata keluarganya mendapat berita mengenai pengesahan jenazah abangnya menerusi aplikasi WhatsApp yang dihantar adik lelakinya Zulkhakimi, 37, kira-kira pukul 6 pagi tadi dari Makkah.
Beliau berkata Zulhakimi dan seorang lagi abangnya Sobri berada di Makkah bagi melakukan proses pengecaman jenazah.

"Allahyarham abang saya dan Abdul Habib ditemui di tingkat tiga Masjidil Haram selepas pihak berkuasa melihat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV)," katanya ketika ditemui di rumah ibu bapa mereka di Kampung Kodiang Lama Luar dekat Jitra hari ini.
Menurut Nazimah, Zulhakimi memaklumkan bahawa Abdul Habib sedang memberi air zam zam kepada abangnya sebelum berlakunya tragedi itu.
"Proses mandi dan mengkafankan kedua-dua jenazah akan diuruskan oleh pihak Tabung Haji sebelum dikebumikan selepas solat Zohor (waktu Makkah) di Makam Muaissem di Mina," katanya.
Sementara itu ibunya, Che Mun Puteh, 75, berkata kegelisahan dan kebimbangannya terhadap kehilangan anak ketiganya itu terubat selepas mendapat tahu jenazah anaknya telah ditemui.
"Syukur akhirnya jenazah anak saya dah jumpa dan akan dikebumikan di Tanah Suci. Kami bercadang untuk lakukan solat jenazah ghaib kepada Shahidan dalam
masa terdekat serta mengadakan majlis tahlil di Masjid Kodiang Lama malam ini," katanya.
Che Mun bekata beliau turut menyimpan dua helai baju milik Allahyarham ketika Shahidan berusia sekitar 20-an sebagai kenangan.
Sementara itu isteri Abdul Habib, Robiah Abdullah, 65, yang ditemui di rumahnya di Kampung Batu Besar, Sik berkata beliau menerima berita mengenai jenazah suaminya ditemui daripada anak lelakinya Mohd Fazil, 41, yang menelefonnya pagi tadi.
"Saya reda dengan pemergian beliau dan saya terima ketentuan daripada Allah," katanya.
Menantunya Ismawati Hamid pula berkata ketika kejadian mereka telah menghubungi bapa mentuanya itu menerusi telefon bimbitnya tetapi tidak menerima sebarang jawapan.
"Mayat ayah ditemui dalam keadaan sempurna dan hanya ada sedikit kesan calar pada badan dan kepala. Kami reda dengan pemergiannya," katanya.
Ismawati berkata keluarganya berterima kasih kepada Tabung Haji yang mengendalikan semua proses pengurusan jenazah bapa mentuanya termasuk pengebumian.
- Bernama

No comments:

Posting Terkini