Nicol David
Ratu skuasy negara Datuk Nicol David memulakan cabaran Terbuka China 2013 dengan langkah kanan apabila mengalahkan pemain tuan rumah Li Donglin untuk mara ke peringkat suku akhir.Pada perlawanan pusingan pertama hari ini, Nicol, selaku pemain nombor satu dunia, tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan pemain China itu dengan keputusan 11-6, 11-4 dan 11-2.
Pada peringkat suku akhir esok, Nicol akan berdepan dengan pemain daripada pusingan kelayakan, Dipika Pallikal dari India yang sebelum itu melakukan kejutan besar dengan mengalahkan pemain pilihan ketujuh Madeline Perry.
Dipika menyingkirkan pemain Ireland itu dengan keputusan 11-8, 11-7 dan 11-4.
Sementara itu, pemain nombor dua negara yang juga juara bertahan Low Wee Wern terpaksa bertarung dalam lima set sebelum menempah slot suku akhir dengan menundukkan pemain Australia, Rachel Grinham dengan 11-4, 7-11, 11-9, 7-11 dan 11-5.
Bagaimanapun, Wee Wern, yang juga pemain ranking ketujuh dunia, bakal menghadapi laluan berliku pada saingan seterusnya apabila berdepan dengan pemain nombor tiga dunia, Raneem El Weleily.
Pemain Mesir berusia 24 tahun itu mara ke suku akhir selepas menjinakkan pemain pusingan kelayakan, Donna Urquhart dari Australia dengan keputusan 8-11, 11-4, 11-9 dan 11-9.
Kesemua pemenang pusingan pertama mara ke suku akhir.
- Bernama
No comments:
Post a Comment