BRUSSELS: Perancis dan Jerman semalam menggesa Washington supaya menyetujui peraturan baru dalam hubungan risikan setelah pendedahan bahawa Amerika Syarikat memasang pengesan suara pada telefon bimbit Canselor Jerman, Cik Angela Merkel, menurut Kesatuan Eropah (EU).
Pemimpin EU "mengambil perhatian tentang niat Perancis dan Jerman bagi mengadakan rundingan dua hala dengan Amerika," kata Presiden EU, Encik Herman Van Rompuy, semasa sidang media setelah hari pertama sidang puncak kesatuan itu berakhir.
Encik Van Rompuy berkata negara lain boleh menyertai Berlin dan Paris sekiranya mereka mahu mendapatkan "persefahaman" dengan Amerika "sebelum hujung tahun" dalam bidang mengumpul maklumat risikan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan awal semalam, pemimpin kesatuan 28 negara anggota itu "menggariskan hubungan rapat antara Eropah dengan Amerika dan nilai perkongsian itu".
Mereka "melahirkan keyakinan bahawa perkongsian itu berdasarkan rasa hormat dan percaya, termasuk keprihatinan tentang tugas dan kerjasama khidmat risikan".
Britain telah lama menjalinkan hubungan risikan dengan Amerika tetapi apabila ditanya tentang peranan London, Encik Van Rompuy menegaskan semua pemimpin bersetuju dengan teks kenyataan.
Britain "tentu sekali ada hubungan istimewa (dengan Amerika)... tetapi mereka menyetujui sepenuhnya teks (kenyataan)," kata Encik Van Rompuy.
Cik Merkel tiba pada sidang puncak dua hari itu dengan berkata bahawa pengintipan antara rakan tidak seharusnya berlaku setelah timbul laporan tentang pengintipan Agensi Keselamatan Nasional (NSA) terhadap panggilan-panggilan Cik Merkel.
Awal minggu ini, Presiden Perancis, Encik Francois Hollande dan Cik Merkel menuntut penjelasan mengenai dakwaan bahawa NSA mengintip berjuta panggilan telefon Perancis dan pemimpin Jerman itu.
Encik Hollande berkata perlunya ada tatalaku, sambil menarik perhatian bahawa EU telah menubuhkan unit khas meninjau isu itu setelah Encik Edward Snowden, mantan kontraktor risik Amerika, membocorkan maklumat awal tahun ini.
Pakar unit itu perlu "mempercepatkan tugas mereka dengan sekutu Amerika kita", kata Encik Hollande, kerana menurutnya "ia merupakan perkara yang tidak akan lenyap". - AFP.
No comments:
Post a Comment