Pages

Friday, October 4, 2013

Ketua polis: 44 senjata api yang hilang mungkin jatuh ke laut

PUTRAJAYA: Sejumlah 44 senjata api yang diisytiharkan hilang oleh pihak polis "mungkin terjatuh di laut", menurut Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
"Senjata-senjata yang hilang itu mungkin tidak terjatuh ke tangan penjenayah tetapi mungkin terjatuh ke laut daripada bot-bot dan senjata-senjata tersebut tidak dapat ditemui," kata Tan Sri Khalid pada sidang akhbar di Putrajaya, kelmarin, seperti dilaporkan sebuah portal berita setempat.
Beliau dipetik oleh The Malaysian Insider (TMI) sebagai berkata bahawa setiap senjata api yang dibawa ada kod pengenalan dan sejauh ini pihak polis belum menemui sebarang laporan tentang senjata api yang hilang telah digunakan dalam jenayah.
Kelakonan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi tumpuan ramai apabila Laporan Tahunan Ketua Audit Negara bagi 2012, yang dikeluarkan Selasa lalu, menunjukkan bahawa mereka kehilangan peralatan berjumlah RM1.3 juta ($503,698) antara 2010 dengan tahun lalu.
Antara peralatannya termasuk 44 senjata api dan 29 kenderaan.

Ahli parlimen pembangkang, khususnya ahli politik Parti Tindakan Demokratik (DAP), Cik Teresa Kok, menyelar pendedahan itu, dan berasa yakin bahawa senjata-senjata yang hilang itu ada kaitannya dengan kenaikan dalam kes jenayah ganas yang membabitkan penggunaan senjata api.
Bagaimanapun, Tan Sri Khalid menafikan tuduhan itu, kelmarin, sambil menekankan bahawa senjata api itu tidak mungkin jatuh ke tangan penjenayah.
"Laporan-laporan balistik menunjukkan bahawa tidak satu pun senjata itu yang telah digunakan oleh penjenayah," kata bel;iau.
Tan Sri Khalid juga menekankan bahawa satu siasatan dalaman mengenai peralatan yang hilang itu telah diadakan.
"Kami telah menyelesaikan 94 kes manakala 118 kes lagi masih disiasat," tambahnya.
Beliau juga mendedahkan bahawa kakitangan polis yang hilang senjata api mereka telah diarahkan supaya membayar balik, dan sejumlah RM197,984 telah diterima sejauh ini.
Sedang beliau mengakui adanya "kelemahan" dalam pasukan polis yang perlu ditangani, Tan Sri Khalid berkata pihaknya melihat kes kehilangan senjata api dengan serius.
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, memberitahu wartawan bahawa kementeriannya telah menyerahkan laporan kepada Ketua Audit Negara untuk menjelaskan isu peralatan yang hilang itu tetapi ia tidak disertakan dalam laporan audit tahunan itu.

No comments:

Posting Terkini